Malaysia Dateline

APMM rampas 13 bubu naga di perairan Tanjung Dawai

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah merampas 13 unit bubu naga yang dipasang sceara haram di sekitar perairan Tanjung Dawai, dekat Kuala Muda semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, rampasan itu hasil rondaan yang dijalankan anggotanya.

“Jabatan Perikanan Kuala Kedah telah memaklumkan bahawa pihak mereka tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk peralatan bubu naga di perairan Negeri Kedah.

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana boleh menjejaskan sumber perikanan lain, kerana bubu jenis itu berangkai dan bersambung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 10 (2),dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, Mahmad Faizal berkata pihakya mengalu-alukan aduan berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut di mana orang ramai boleh menyalurkan maklumat terus di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

— BERNAMA