Malaysia Dateline

APMM rampas 40,000 rokok seludup untuk pasaran di Kelantan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas sejumlah 40,000 kotak rokok bernilai RM336,000 termasuk cukai duti import yang cuba diseludup masuk ke negara ini, semalam.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan Komander Maritim Ismail Hamzah berkata rampasan itu dibuat hasil maklumat risikan sebelum enam anggota APMM membuat intipan pada pukul 11.30 pagi.

“Serbuan dilakukan di lokasi 1.7 batu nautika di timur Kuala Tongkong, Tumpat terhadap sebuah tongkang di kawasan tersebut.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota APMM, tiga lelaki bertindak memecut bot laju mereka ke kawasan tepi pantai dan meninggalkan ribuan kotak rokok di dalam tongkang berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Tok Bali hari ini.

Ismail berkata bot dan rokok berkenaan ditunda ke Pejabat APMM di sini untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Beliau berkata rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran di Kelantan.

— BERNAMA