Malaysia Dateline

AR Badol ucap terima kasih kepada ATM urus jenazah anak

Pelakon dan pelawak legenda, AR Badul merakamkan ucapan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu segala urusan pengebumian anaknya, Allahyarham Mejar Mohd Zahir bermula semalam hingga selesai hari ini.

Menurut AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 69, segala urusan diatur dengan begitu sempurna dan lancar menggambarkan Allahyarham begitu dihargai.

“Dengan komitmen tinggi daripada pegawai atasan hingga bawahan menjadikan tiada satu pun perkara yang jadi halangan hingga arwah selamat dikebumikan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Tambun seperti dilapor Sinarharianonline hari ini.

Beliau berkata, Mohd Zahir dikebumikan di kampung halaman keluarga mentua di Ipoh demi menghormati permintaan isteri Allahyarham, Nour Shafinar Harun, 31.

“Kalau ikut adik-beradik mereka mahu arwah dikebumikan di Kuala Lumpur dan maknya pula mahu di Sabah.

“Jadi saya buat keputusan atas dasar keprihatinan dan usaha pihak tentera yang membantu menyelesaikan proses pengebumian arwah di sini,” katanya.

Dengan nada berseloroh, artis tersohor itu berkata, liputan yang diberikan media terhadap Allahyarham juga begitu hebat mengalahkan beliau sendiri.

Katanya, berita-berita mengenai kerjaya dan sumbangan Allahyarham yang dipaparkan media secara tidak langsung menutup insiden sedih yang berlaku ketika kejadian.

“Saya rasa dia lebih ‘besar’ daripada saya pula yang dah lama jadi artis ini, tetapi itulah sebenarnya keupayaan kerjaya dan kebolehannya.

“Komitmennya itu membuatkan saya begitu bangga memiliki anak seorang tentera,” katanya.

Pengebumian Pegawai Komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas itu dilaksanakan dengan penuh adat istiadat ketenteraan bermula jam 7.45 pagi tadi.

Istiadat pengebumian selesai pada jam 8.45 pagi dengan serahan Jalur Gemilang kepada isteri Allahyarham oleh Pegawai Memerintah Rejimen 11 Gerak Khas, Kolonel Zulkinine Mohd Yunus.