Malaysia Dateline

Arab Saudi benarkan tunai ibadah Umrah secara berperingkat

Kerajaan Arab Saudi membenarkan umat Islam melaksanakan ibadah umrah secara berperingkat.

Bermula 15 September ini, kerajaan Arab Saudi akan mengangkat sebahagian daripada sekatan kemasukan antarabangsa untuk menunaikan ibadah umrah.

Bagaimanapun kebenaran hanya diberikan kepada beberapa kategori warganegara Arab Saudi dan negara anggota Majis Kerjasama Teluk (GCC) serta bukan warganegara Arab Saudi berpandukan kepada langkah pematuhan pencegahan Covid-19.

Tabung Haji dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Arab Saudi akan mengumumkan cadangan mengangkat sekatan kemasukan sepenuhnya di semua pintu masuk 30 hari sebelum tarikh 1 Januari 2021.

Berikutan pendemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, Arab Saudi menghentikan kemasukan jemaah haji atau umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19 ke bandar-bandar suci Islam.

Ia satu langkah yang julung kali terjadi namun langkah mengehadkan kehadiran dari kawasan berisiko tinggi pernah dilaksana ketika wabak Ebola menyerang wilayah itu.

Akhir Julai lalu Arab Saudi mengumumkan sekurang-kurangnya 10,000 penduduk di Makkah akan mengerjakan ibadat itu pada tahun ini, berbanding 2.5 juta jemaah yang melaksanakannya tahun lalu.

Jemaah juga diwajibkan untuk menjalani ujian COVID-19 sebelum tiba di Makkah dan perlu menjalani kuarantin selepas selesai ibadat.