Malaysia Dateline

Arab Saudi puji kempen Kebersihan Perdana Masyair

Selepas tertarik melihat jemaah haji Malaysia menjaga persekitaran mereka dengan kemas dan bersih dalam Kempen Kebersihan Perdana Masyair yang dianjurkan Tabung Haji (TH), kerajaan Arab Saudi akan mencadangkan program sama dilaksakanan semua jemaah haji pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdulfattah Suliman Mashat menyifatkan Malaysia sebagai model dalam menjaga kebersihan kerana jemaah meninggalkan khemah mereka di Mina dan Arafah dalam keadaan bersih semasa Operasi Masyair, yang merupakan kemuncak kepada ibadah haji.

“Sebenarnya, ia tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Kita perlu menjaga tempat dan khemah kita supaya bersih. Ini (sepatutnya) sikap perlu ada bagi setiap umat Islam.

“Kita dalam perbincangan dengan TH tentang bagaimana kita dapat menyediakan ‘konsep hijau’. Insya-Allah pada masa hadapan atau tahun depan untuk manfaat kepada semua jemaah haji,” kata Abdulfattah ketika pertemuan dengan pengurusan kanan TH bagi operasi musim haji 1439H semalam, lapor Bernama.

 Dr Abdulfattah Suliman Mashat (di tengah) dan Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kanan) dalam pertemuan dengan pengurusan Tabung Haji semalam. -Foto NST.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta dua Timbalannya, Nurrinanuwar Shamsuddin (Kebajikan) dan Dr Shaffari Marzuki (Perubatan).

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada TH di atas sistem pengurusan haji yang cemerlang dan efisien untuk jemaah haji Malaysia,” katanya.

Pada 17 Ogos lalu,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa telah melancarkan Kempen Kebersihan Perdana Masyair ini.