Arab Saudi sahkan kematian wartawan Jamal Khashoggi

Arab Saudi sahkan kematian wartawan Jamal Khashoggi

Kerajaan Arab Saudi hari ini mengesahkan kematian wartawan terkenal, Jamal Khashoggi yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, kata media rasmi.

Pendakwa awam Arab Saudi, dalam satu kenyataan berkata, berlaku pertengkaran di antara Khashoggi dan pihak yang ditemuinya di konsulat berkenaan hingga membawa kepada kematiannya.

“Siasatan masih lagi berjalan dan setakat ini 18 warga Arab Saudi telah ditahan. Seorang penasihat kerajaan, Saud al-Qahtani dan timbalan ketua perisikan Ahmed Asiri turut dipecat dari jawatan mereka,” kenyataan itu menyebut.

Sementara itu, satu suruhanjaya terdiri daripada pegawai keselamatan negara, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri akan ditubuhkan bagi menyiasat kematian kolumnis Washington Post itu.

Suruhanjaya berkenaan dikatakan mempunyai tempoh sebulan untuk mendedahkan laporan penyiasatan.

Terdahulu, wartawan Arab Saudi itu hilang selepas memasuki konsulat berkenaan pada 2 Oktober lalu untuk mendapatkan dokumen rasmi bagi melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya Hatice Cengiz, seorang warga Turki.