Malaysia Dateline

Arab Saudi tamatkan perintah berkurung pada 21 Jun, kecuali di Mekah

Arab Saudi akan mula melonggarkan sekatan pergerakan ekoran pandemik Covid-19 di seluruh negara itu, kecuali di Mekah bermula 21 Jun ini, menurut agensi berita negara itu hari ini.

Untuk fasa pertama yang akan bermula Khamis ini, tempoh 24 jam perintah berkurung akan dikurangkan kepada 6 petang hingga 6 pagi dengan mengekalkan larangan perjalanan domestik, solat di masjid dan kehadiran pekerja ke tempat kerja sama ada di jabatan kerajaan atau sektor swasta akan ditamatkan pada 31 Mei ini.

Perintah berkurung 24 jam masih kekal berkuatkuasa di Mekah dan ia hanya dijangka akan dikurangkan selepas 21 Jun apabila tempoh perintah berkurung ditukar kepada 3 petang hingga 6 pagi, dan solat dibenarkan di masjid.

Bagaimanapun ibadah Haji dan Umrah yang biasanya disertai berjuta ahli jemaah dari seluruh dunia masih kekal ditangguhkan, lapor Aljazeera.

Menurut pihak berkuasa negara itu, garis panduan jarak fizikal masih digunapakai, sementara perhimpunan melebihi 50 orang masih dilarang.

Sesetengah aktiviti ekonomi dan komersial akan dibenarkan termasuk gedung jualan borong dan kedai runcit, pasaraya dan kedai makan.

Bagaimanapun perniagaan seperti pusat kecantikan, salun gunting rambut, sukan, pusat rekreasi serta panggung wayang masih ditutup kerana kesukaran melaksanakan peraturan penjarakan fizikal.