Malaysia Dateline

Arah pemegang Pas Lawatan Sosial tinggalkan negara ketika Covid, tindakan tak masuk akal

Jabatan Imegresen seolah-olah tidak memahami kesukaran warga asing untuk mengatur kepulangan mereka ke negara asal susulan pengumuman agensi itu yang menetapkan warga asing meninggalkan negara ini sebelum 21 April sekiranya Pas Lawatan Sosial (PLS) mereka sudah tamat tempoh.

Koordinator Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, adalah tidak masuk akal bagi Jabatan Imigresen untuk memperlakukan warga asing yang tinggal lebih lama di Malaysia seolah-olah mereka sengaja melakukannya.

Tegasnya, ramai yang terperangkap kerana sekatan perjalanan dan status mereka yang tidak berdokumen adalah disebabkan oleh ketidakmampuan Jabatan Imigresen untuk memudahkan keadaan mereka selama ini.

“Mereka tidak boleh dipandang atau diperlakukan sebagai penjenayah kerana terlalu lama menetap.

“LFL memandang pengumuman ini sebagai sebahagian daripada rangkaian tindakan tidak masuk akal oleh kerajaan kerana tindakan kerasnya terhadap pendatang dan pelarian.

“Awal tahun ini, Malaysia mengusir 1,086 warga Myanmar walaupun perintah mahkamah menghentikan pemulangan, kerana berpotensi merisikokan nyawa pelarian Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Imigresen mengesahkan warga asing dengan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sudah tamat tempoh perlu meninggalkan negara ini sebelum atau pada 21 April depan.

Merujuk kepada laporan berita membabitkan warga asing yang memegang PLS perlu meninggalkan negara ini, Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.