Malaysia Dateline

Arahan bersimpang siur, Pemuda AMANAH persoal apa Muhyiddin dan menteri lakukan

Timbalan Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir, menggambarkan kerajaan seolah-olah kehilangan punca selepas beberapa arahan yang disifatkannya sebagai bersimpang siur, terpaksa ditarik semula dalam masa 24 jam.

Menurutnya, ini selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang bertindak menarik semula larangan keluar antara negeri biarpun tidak sampai 24 jam mengeluarkan arahan terbabit.

Malah katanya, dalam kes yang lain, tidak sampai 24 jam arahan dikeluarkan universiti awam supaya setiap kampus dikosongkan, Kementerian Pengajian Tinggi pula tampil dengan kenyataan kontradik yang membenarkan mahasiswa tinggal di dalam kampus.

“Semalam, walaupun Ketua Setiausaha Negara memberikan penjelasan berhubung tiadanya jemputan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH), kita masih tidak mengetahui apakah telah ada penyelarasan menyeluruh di setiap kementerian khususnya peranan semua jemaah menteri dalam menangani wabak ini?

“Ketika negara dilanda krisis sebesar ini, kerajaan seolah-olah kehilangan punca.

“Menteri-menteri serta timbalan-timbalan menteri pula kelihatannya bergerak dan bertindak teramat perlahan. Seolah-olah pergerakan siput atau mungkin lebih perlahan daripada itu,” selarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, beliau turut mempersoalkan apakah yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan jemaah kabinetnya dalam menangani ancaman Covid-19 ini.

“Kerana itu jangan marah kalau orang dah mula bertanya, apa sebenarnya yang Muhyiddin dan jemaah menterinya sedang lakukan ketika ini?” soalnya.