Arahan bunuh Khashoogi datang dari “peringkat tertinggi” kerajaan Saudi, kata Erdogan

Arahan bunuh Khashoogi datang dari “peringkat tertinggi” kerajaan Saudi, kata Erdogan

Arahan bunuh ke atas wartawan dan pengkritik rejim Arab Saudi, Jamal Khashoogi datang dari “peringkat tertinggi” kerajaan Riyadh, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, menurut laporan Washington Post yang dipetik oleh The Express Tribune.

“Kami tahu bahawa pelakunya adalah antara 18 orang yang disyaki, yang ditahan di Arab Saudi. Kami juga tahu bahawa individu-individu tersebut datang untuk melaksanakan arahan mereka: Bunuh Khashoogi dan beredar,” kata Erdogan.

Erdogan berkata, akhirnya pihak beliau tahu bahawa arahan untuk membunuh Khashoogi datangnya dari peringkat tertinggi kerajaan Arab Saudi.

Tambah Erdogan, beliau “sukar untuk mempercayai” bahawa Raja Saudi, Salman telah mengeluarkan arahan membunuh Kashoogi, yang dibunuh di konsulat negara berkenaan di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Wartawan Jamal Khashoogi dijerut leher sebaik memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul dan kemudian “anggota tubuhnya dipotong-potong”, kata Ketua Pendakwaraya Turki pada Rabu lalu, sekali gus mendedahkan secara terperinci pembunuhan tersebut kepada umum.