Malaysia Dateline

Arahan tangguh Kongres Nasional PKR: Kerajaan PN hilang akal

Tindakan bodoh dan desperado politik Perikatan Nasional (PN) cukup menggambarkan sebuah kerajaan yang sudah hilang arah mahu pun pertimbangan serta hilang akal dan mencelarukan pemikiran rakyat.

Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa berkata, pihaknya amat terkejut apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Pendaftar Pertubuhan pada 4 Jun lalu mengarahkan Kongres PKR kali ke-15 semalam ditangguhkan.

“Apakah kerajaan PN dan MKN telah berada pada tahap hilang akal dan tidak cerdik sehingga mengeluarkan arahan agar Kongres Nasional tersebut ditangguhkan sedangkan ianya berlangsung dalam talian melalui capaian Zoom dan bukannya secara bersemuka?

Fariz Musa

“Sebelum ini MKN telah menyatakan mereka tiada halangan terhadap perjalanan kongres secara atas talian sepenuhnya sepertimana surat bertarikh 27 Mei 2021.

“Namun begitu, ia menjadi sebaliknya sehingga menjadi tanda tanya logik dan kewarasan tindakan tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Beliau menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) harus bertindak profesional dan mempertahankan perjalanan kongres kerana parti sedang melaksanakan tanggungjawab perlembagaan parti sepertimana yang dikehendaki oleh mereka.

Fariz menambah ROS tidak sepatutnya berada di bawah telunjuk kerajaan, apalagi ianya berjalan secara atas talian dan mengikut norma baharu serta tidak melanggar SOP sekali gus membantu memutuskan rantaian Covid-19.