Arahan tutup madrasah eksploitasi pelajar untuk kutip derma tindakan tepat

Arahan tutup madrasah eksploitasi pelajar untuk kutip derma tindakan tepat

Arahan terhadap sebuah madrasah yang dikesan beroperasi tanpa kebenaran sah di Sungai Petani oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah satu tindakan yang wajar dilaksanakan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda AMANAH kawasan Jerai, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, kelmarin agar orang ramai tidak terpedaya dengan taktik memohon derma bagi membiayai majlis berbuka puasa lebih 200 pelajar pada khamis.

Oleh kerana itu kata Mohd Ridzwan, arahan penutupan madrasah tersebut adalah bagi mengelakkan salah guna kuasa dan urus tadbir serta penyelewengan yang mungkin berlaku.

“Sepertimana yang telah dimaklumkan bahawa madrasah tersebut didapati beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Selain itu ia juga disyaki mengeksploitasi pelajar bagi mengutip derma tanpa keizinan pihak berkuasa agama negeri.

“Adalah dilaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memberi notis bagi pengosongan premis madrasah dalam tempoh seminggu, ” ujarnya lagi.

Tegas Mohd Ridzwan lagi, tindakan segera kerajaan negeri adalah bagi menyelamatkan para pelajar dari terus disalah gunakan oleh pihak pengurusan,

“Sepatutnya pihak yang menguruskan madrasah berunsurkan pendidikan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Dengan mengikut segala prosidur yang ditetapkan, ia bukan sahaja dapat membantu untuk disalurkan segala bantuan yang ada, tetapi juga demi masa depan para pelajar.

“Oleh kerana itu waris pelajar khususnya di negeri Kedah seharusnya mengenal pasti terlebih dahulu setiap madrasah atau institusi pendidikan yang beroperasi secara sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa, ” kata beliau lagi.

Tambahnya lagi, tindakan segera yang diambil oleh kerajaan negeri mampu menyelamatkan masa depan para pelajar serta hala tuju mereka sebelum jauh tersasar dari landasan sebenar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.