Malaysia Dateline

Arahkan Adham Baba tarik semula peraturan kuarantin menteri

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengarahkan agar Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba menarik semula peraturan yang mengecualikan menteri daripada menjalani kuarantin 10 hari seperti rakyat lain.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, ini untuk memastikan Muhyiddin menunaikan janji sendiri bahawa tidak akan ada layanan berbeza atau dwi-standard di dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurutnya, Adham jelas sekali tidak relevan dalam usaha membendung wabak Covid-19 kerana rakyat seakan-akan tidak mempunyai seorang Menteri Kesihatan sepanjang usaha membendung jangkitan berkenaan tahun lepas.

“Namun, janji Perdana Menteri ini tidak mempunyai sebarang makna sekiranya Menteri Kesihatan boleh mewartakan layanan berbeza dalam pematuhan SOP kuarantin Covid-19.

“Apa yang dipertaruhkan sekarang bukanlah kredibiliti Menteri Kesihatan ‘air suam’ memandangkan beliau tidak mempunyai sebarang kredibiliti lagi.

“Tetapi kini kredibiliti Perdana Menteri sendiri sama ada kredibiliti beliau berada dalam keadaan yang lebih baik daripada kredibiliti Menteri Kesihatan air suam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin dalam satu perutusan khasnya berjanji bahawa kerajaan tidak akan memberikan layanan berbeza dalam pematuhan SOP kuarantin Covid-19.

Beliau mengatakan bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali daripada pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam perkara ini.

Sementara itu Lim berkata, Muhyiddin perlu sedar bahawa perlembagaan telah menjamin kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, amat tragik apabila kerajaan berada dalam situasi yang seharusnya bertanggungjawab mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat, tetapi kini membuat keputusan yang berlawanan.

Bahkan katanya, kerajaan sedang melakukan segalanya untuk merendahkan lagi keyakinan dan sokongan rakyat seperti yang dilakukan dengan peraturan kuarantin baharu itu.

“Adakah ini bukti terbaru yang melayakkan Kerajaan Malaysia sedia ada untuk dipanggil sebuah kakistokrasi secara menyeluruh?,” soalnya sinis.