Malaysia Dateline

Arak dan judi: Antara ijtihad dan jahat

Hukum haramnya arak ke atas umat Islam adalah suatu yang qathi’e dan dharuri’e. Ianya hukum yang tiada sebarang pertikaian mengenainya dan diketahui umum.

Setakat ini saya tak pernah jumpa rakan-rakan muslim saya sama ada dari Pas, Umno, Bersatu, Pejuang, DAP, PKR, atau AMANAH yang terlibat dengan judi atau meminum arak. Semuanya tahu dan mematuhi hukum haramnya arak dan judi ke atas diri mereka.

Pun begitu, persoalan sama ada pentadbiran kerajaan yang memerintah sebuah negara itu wajib mengharamkan arak dan judi secara total bukanlah suatu hukum yang qath’ie.

Ada pelbagai pandangan di situ. Persoalan ini lebih kepada persoalan fiqh.

Mereka yang mengatakan kerajaan tidak perlu mengharamkan arak dan judi secara total mungkin ada asas dan hujahnya. Mereka yang mengatakan kerajaan perlu mengharamkan arak dan judi secara total juga ada asas dan hujahnya.

Mereka yang memilih jalan tengah antara dua pandangan ini juga ada asas dan hujahnya.

Tidak ada pihak yang boleh mendakwa pandangannya seratus peratus betul dan pandangan yang lain adalah seratus peratus salah. Ianya adalah ijtihad.

Dalam kalangan pemimpin parti-parti politik yang beragama Islam juga mengambil pandangan yang berbeza dalam perkara ini. Perbezaan ini perlu diraikan dengan lapang dada.

Pun begitu, apa pun sikap dan ijtihad yang diambil biarlah konsisten. Janganlah masa jadi pembangkang dia memaksakan pandangannya ke atas pihak lain yang jadi kerajaan. Tetapi apabila dia jadi kerajaan, dia sendiri lupa dengan apa yang dia sebut sebelumnya.

Itu bukan ijtihad. Itu adalah jahat.