Malaysia Dateline

Arak: Penganjur Jongker Walk langgar syarat lesen

Penganjur Pasar Malam Jonker Walk akan dikenakan tindakan undang-undang kerana didapati melanggar syarat lesen yang ditetapkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Datuk Bandarnya, Mansor Sudin berkata, penganjur tersebut telah mengadakan kegiatan promosi arak di Pasar Malam Jonker Walk tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Katanya, kegiatan minum arak secara percuma yang diadakan pada 23 dan 24 Mac merupakan sempena program promosi ‘Tester Carlsberg’.

“Hasil aduan yang diterima, lima orang pegawai MBMB telah menjalankan siasatan ke lokasi terbabit bermula 10.30 pagi semalam.

“Berdasarkan makluman, kegiatan tersebut berlaku di hadapan Tamil Methodist Church, Jalan Kubu dan berterusan ke bangunan Gan Boon Leong, Jalan Kubu, Melaka.

“Perjumpaan bersama Pengerusi Pertubuhan Jawatankuasa Pengurusan Jonker Walk juga telah dibuat bagi mendapatkan maklumat sebenar,” katanya.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, hasil perjumpaan menjelaskan bahawa penganjur promosi ‘Tester Carlsberg’ mendapat kebenaran daripada Pertubuhan Jawatankuasa Pengurusan Jonker Walk.

“Sehubungan itu, MBMB akan mengambil tindakan undang-undang kepada penganjur kerana mengadakan kegiatan promosi arak di Pasar Malam Jonker Walk tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

“Tindakan sama juga boleh dikenakan kepada pemegang lesen kedai atau individu yang mengendalikan aktiviti tersebut.

“Tindakan undang-undang akan diambil di bawah Undang-undang Kecil 5(2), UUK Pasar Malam/Sehari, MBMB 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian yang mendakwa siasatan dilakukan selepas kegiatan minum arak secara percuma itu tular di media sosial.