Malaysia Dateline

Arak: Satu penyelesaian dasar siyasah syariah

Persoalan arak dalam kerangka sebuah pemerintahan perlu dilihat dari sudut hukum Syara’ dan panduan Siyasah Syari’eyah. Siyasah Syarieyah adalah dasar pemerintahan yang digerakkan mengikut keadaan semasa dan peruntukan perundangan terkini dengan merujuk kepada prinsip asal sesuatu permasalahan.

Secara hukum fiqah, Islam mengharamkan konsumpsi arak secara nas ke atas umat Islam. Hukum pengharaman arak dilihat kepada kesan buruk yang merosakkan kehidupan seseorang kepada diri dan keluarga serta masyarakat. Apa sahaja aktiviti yang terkait dengan arak turut diharamkan ke atas umat Islam dan perkara ini tidak ada pertikaian dalam perbahasannya.

Bagi bukan Islam hukum pengharaman arak ini tidak dipertanggungkan ke atas mereka dan hal mereka dengan arak ditentukan oleh ketetapan agama mereka masing-masing. Islam tidak memaksa tanggungjawab hukum ke atas bukan penganutnya walaupun kesan arak dalam kesejahteraan rumahtangga dan masyarakat sangat membahayakan.

Dari sudut Siyasah Syarieyah (Dasar Pemerintahan), pemerintah perlu mengambil sikap dari sudut hak bukan Islam untuk konsumpsi, jualan sesama bukan Islam dan cukai yang dikenakan oleh pemerintah ke atas jualan arak. Dengan kata lain soal arak dan kaitannya dari sudut Siyasah Syarieyah adalah di bawah tajuk hak bukan Islam yang pemerintah Islam perlu menghormatinya.

Soal dasar arak untuk bukan Islam jelas ditetapkan oleh para fuqaha’ khusus kitab ‘Ahkam Ahlul Zimmah’ oleh Ibnu Qayyim Al Jauzy (meninggal dunia 751 H) yang meletakkan hak-hak bukan Islam secara dasar pemerintahan.

Antaranya ialah minuman arak dikalangan bukan Islam, jual-beli di kalangan mereka dan import eksport arak untuk mereka. Fatwa Umar ibnu al Khattab yang menetapkan cukai arak 1/8 dari perniagaan arak di kalangan bukan Islam dijadikan panduan harus mengutip cukai arak.

Persoalannya, hari ini ialah bagaimana sikap Siyasah Syar’eyah dalam konteks Malaysia perihal jualan, proses pembuatan dan konsumpsi di kalangan bukan Islam dapat ditetapkan panduannya?

Jika tidak diperturunkan dasarnya isu arak akan sentiasa dipolitikkan sehingga menimbulkan polemik berterusan yang tidak berkesudahan.

Dasar arak perlu bermula dengan melarang umat Islam daripada terlibat dalam semua aktiviti pemprosesan, jual beli, pengangkutan, hidangan dan yang berkaitan.

Kedua, sebarang promosi arak dan kaitannya dilarang sama sekali bagi menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan.

Ketiga, sensitiviti umat Islam perlu dipelihara dalam semua aktiviti arak di kalangan bukan Islam termasuk penganjuran majlis, pemilihan jenama dan simbol yang boleh menimbulkan kemarahan kepada umat Islam.

Keempat, isu hak bukan Islam dalam soal arak dan kaitannya perlu dijauhi dari eksploitasi politik bagi meraih sokongan dan menimbulkan kebencian.

Kelima, penguatkuasaan undang-undang samada peringkat kerajaan tempatan, mahupun di peringkat Federal perlu diperketatkan dan dibaiki supaya gejala kesan arak dapat dikawal dan ditangani dengan berkesan.

Berkenaan cukai arak (sin tax), dicadangkan supaya peruntukan besar perlu dibuat di bawah program ‘Berhenti Minum Arak’ bagi menimbulkan kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya arak dan ancamannya kepada kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.

Program ini adalah rentas kaum dan agama bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia menentang bahaya arak dalam masyarakat bagi memelihara kesihatan dan kesejahteraan rumahtangga dan keselamatan masyarakat.

Dari sudut industri yang mempromosikan jenama arak ‘Timah’ sebagai produk Malaysia, ia adalah sesuatu yang memburukkan imej Islam sebagai Agama Persekutuan dan telah menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.

Jika lima petunjuk Siyasah Syari’eyah di atas dituruti, pastinya kelulusan jenama arak ‘Timah’ tidak akan berlaku dan ditolak sejak awal lagi bagi memelihara kedudukan Islam sebagai agama resmi Persekutuan.

Pengajaran dari isu arak berjenama Timah ialah perlu ada ketegasan pemerintah memelihara nama baik Islam dan kedudukannya dalam negara. PM dan khususnya kabinetnya perlu menjelaskan sikap supaya nama baik Islam di Malaysia tidak dicemari tanpa menidakkan hak bukan Islam dalam keperluan mereka.

Lebih penting ialah pihak yang memainkan isu arak untuk sentimen politik perlu sedar bahawa arak bukan soal politik murahan tetapi memerlukan ketekunan kepada menurunkan dasar pemerintahan berkesan demi memelihara kedudukan Islam sebagai agama resmi Persekutuan dan sekaligus memelihara kesejahteraan masyarakaf berbilang kaum dalam negara ini.