Malaysia Dateline

Arak: Tindakan Aminuddin letak jawatan SIGC harus dipuji, kata Chegu Bard

Bekas Ketua Cabang PKR menyifatkan perletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun selaku Pengerusi Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) sebagai tindakan tegas yang harus dipuji kerana mengotakan janjinya.

Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, perletakan jawatan tersebut berikutan Aminuddin gagal mempertahankan larangan penjualan arak selepas satu Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM) SIGC di adakan pada 24 Mac lalu.

“Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Malik yang merupakan Naib Presiden SIGC telah mempengerusikan mesyuarat yang menarik semula larangan penjualan arak di SIGC.

Aminuddin Harun

“Razali yang mempengerusikan mesyuarat tersebut dilihat seolah-olah melawan keputusan Aminuddin dan mungkin akan mengundang persepsi bahawa kerajaan Negeri Sembilan sebagai bermasalah.

“Aminuddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri sudah meletak jawatan kerana gagal mengharamkan penjualan arak.

“Jadi adakah Razali selaku penjawat awam Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan boleh bersetuju dengan penjualan arak?,”soalnya dalam kenyataan hari ini.

Badrul yang juga merupakan Bekas Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata jika kerajaan gagal menangani perkara ini, Aminuddin berkemungkinan dilabel sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan paling lemah dalam sejarah.

Beliau juga meluahkan rasa khuatir jika orang ramai menganggap perkara yang berlaku sebagai sandiwara Kerajaan Negeri.

“Mereka juga akan menganggap Kerajaan Negeri benar-benar mempunyai masalah lantaran tidak sefahaman antara Aminuddin dan Razali,”katanya.

Beliau juga menekankan bahawa pada 2009, Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Utama Mohammad Hassan telah menandatangani dokumen perlembagaan SIGC yang memberi kebebasan menjual arak.

“Jadi, Jawatankuasa SIGC pasti tidak berani melanggar arahan Aminuddin di EGM jika tidak punya asas kukuh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian yang merujuk kepada dokumen perlembagaan yang ditandatangani dahulu sebagai punca mereka tidak bersetuju dengan larangan penjualan arak.

“Ini perlu diketahui umum bahawa ahli politik bakal calon Umno – BN Rantau yang kini bercakap soal Melayu dan Islam tetapi dialah yang menandatangani dokumen menghalalkan penjualan arak di Kelab Golf yang asetnya milik kerajaan negeri.

“Kerana tandatangan kebenaran tersebutlah Aminuddin kini gagal untuk menghalang penjualan arak dan terpaksa meletakkan jawatan,”dakwanya.