Arif Aiman akan cedera kalau main padang macam ni – TMJ

Oleh MAISARAH AISYA

Keadaan padang yang teruk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang final Piala Malaysia 2023 malam ini mengusarkan ramai pihak.

Ia turut membimbangkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sempat menyindir pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Baginda juga turun sendiri untuk melihat padang tersebut dan mendapati keadaan di sana mampu menyebabkan kecederaan kepada pemainnya.

Keadaan permukaan padang yang tidak rata tersebut mungkin boleh menyebabkan Harimau Malaya kehilangan beberapa tonggak utama.

Pasukan Harimau Malaya itu dijangka bakal beraksi di Piala Asia 2023 Qatar tahun hadapan.

“Main boleh main. Tetapi kualiti perlawanan akan kurang.

“Yang membimbangkan adalah pemain kebangsaan macam Corbin, Arif Aiman, Matt Davies, Hendrick, Shahrul Saad dan Afiq Fazail cedera.

“Buku lali, peha, lutut dan groin oleh kerana padang tak rata. Bulan depan Piala Asia di Qatar,” ujar TMJ di Instagram.

Dalam satu kenyataan lain, PSM memohon maaf kepada Malaysia Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023.

Kenyataan tersebut turut memohon maaf kepada semua peminat bola sepak negara terutamanya penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).

Tambah PSM, ia adalah susulan mereka tidak mempunyai cukup masa untuk perbaiki padang selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.

Media melaporkan, seramai 80,000 penonton kedua-dua pasukan dijangka hadir untuk menyaksikan perlawanan final malam ini.

Baca juga: Merosot 11 hari berturut-turut, Starbucks rugi hampir RM55 bilion! Ini fakta anda perlu tahu