Sekurang-kurangnya tiga kelab bola sepak terkemuka dari Iran dikatakan sedang merisik pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi untuk dibawa beraksi dalam saingan Liga Persian Gulf Pro.
Malah menurut sumber, salah satu daripada kelab bola itu sanggup menawarkan nilai kontrak secara pinjaman yang cukup lumayan bagi mendapatkan khidmat bintang JDT terbabit dalam liga berkenaan.
Difahamkan, kelab berkenaan sanggup mengeluarkan belanja sebanyak AS$300,000 atau bersamaan dengan RM1,348,200 untuk tempoh pinjaman selama enam bulan, lapor Harian Metro.
“Memang ada tawaran daripada beberapa kelab Iran. Sekurang-kurangnya ada tiga kelab yang amat berminat untuk membawa Arif Aiman bermain di sana (di Iran).
“Tawaran bukan biasa-biasa. Ada satu kelab itu tawarkan AS$300,000, kalau duit kita satu juta lebih. Tetapi ada kelab lain juga yang tawar lebih tinggi.
“Tetapi bukan senang nak bawa Arif Aiman kerana ia perlu mendapat persetujuan pihak kelab (JDT),” kata sumber itu memetik laporan Harian Metro.
Sebelum ini, timbul perbincangan hangat di media sosial berhubung spekulasi yang mengaitkan nama Arif dengan kelab Iran iaitu Persepolis apabila penganalisis dan jurulatih pasukan itu memantaunya di laman Instagram.
Sebuah lagi kelab iaitu Tractor FC yang kini sedang menduduki tangga pertama dalam saingan Liga Persian Gulf Pro juga turut dikaitkan dengan pemain berusia 23 tahun terbabit.
“Kelab Iran ini berminat sebab mereka terpegun dengan aksi lincahnya bersama JDT dalam saingan ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit) dan ketika beraksi di Piala Asia Qatar, Januari tahun lalu,” ujar sumber berkenaan.
Terdahulu, kelab penyokong Rangers FC yang dikenali sebagai The Rangers Journal dilaporkan meminta Ahli Lembaga Pengarah kelab itu iaitu Nils Koppen untuk membawa masuk Arif Aiman.
Namun berdasarkan prestasi terkini Arif Aiman, peluang untuk JDT melepaskan pemain itu beraksi di luar negara agak tipis di mana khidmatnya masih diperlukan skuad Harimau Selatan dalam saingan ACLE.
Baca juga: Terjawab kenapa dah lama tak nampak minyak masak paket dekat pasar raya