Malaysia Dateline

ARiF tumpu PRU-15 yang dijangka akhir tahun ini

Pertubuhan sukarelawan di bawah parti AMANAH, Amal Relief (ARiF) Nasional menumpukan tenaga kepada gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah ARiF Nasional, Johari Osman berkata, pihaknya telah mencapai resolusi tersebut hasil permukiman tiga hari dua malam di Dusun Durian Teratak Chu Tiah, Changlun, Kedah.

“Kita telah mencapai satu resolusi bagi gerak kerja ARiF seterusnya.

“Kita akan fokus kepada PRU-15 yang kemungkinan besar akan diadakan pada penghujung tahun ini,” katanya dipetik dari rakaman video khas yang dimuat naik dalam Facebook ARiF Malaysia.

Johari Osman

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar seluruh pengarah ARiF negeri dan anggota pertubuhan tersebut membantu kejayaan AMANAH pada PRU-15 nanti.

“Apa yang kami harapkan supaya kita sama-sama berada di posisi yang diperlukan oleh parti demi mencapai kemenangan yang dinantikan. InsyaAllah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha ARiF Nasional, Suhaimi Hamzah berkata, permukiman tersebut bertujuan bagi memperkasa kepimpinan ARiF serta menanam semangat kerjasama dan ukhuwah antara pimpinan ARiF di seluruh Malaysia.

Dalam retreat itu, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyampaikan Taklimat Khas Presiden manakala perasmian penutup disempurnakan Naib Presiden AMANAH, Mahfuz Omar merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena.