Malaysia Dateline

Armada Bersatu buat laporan polis mengenai kumpulan cetus kekacauan

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata satu laporan polis telah dibuat berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang dengan sengaja mencetuskan kekacauan di program Rapat Umum Armada Johor, di Ulu Tiram, di sini, malam tadi.

Menerusi laman Facebook, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata ketika program dijalankan, ada satu kumpulan individu yang tidak dikenali yang datang dan mencetuskan huru-hara.

Beliau berkata kumpulan itu disyaki daripada pihak pembangkang yang sengaja datang untuk menganggu program, namun tindakan mereka sangat ganas dan berbahaya.

“Mereka melemparkan kata-kata kesat, memaki hamun dan menghalau kami semua. Kami telah membuat laporan polis mengenai perkara ini. Kami juga ada mempunyai rakaman video wajah-wajah mereka yang terlibat untuk dijadikan bahan bukti,” katanya dan menambah pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan.

Menurut Syed Saddiq, Armada ingin menyatakan dengan tegas bahawa pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang sangat kotor, jahat dan tidak berdemokratik seperti itu.

Beberapa media sebelum ini melaporkan tindakan kumpulan itu yang terdiri daripada hampir 200 orang yang memakai kemeja-T berwarna merah atau hitam, menyebabkan Syed Saddiq serta beberapa orang terpaksa beredar dari situ menerusi jalan belakang.