Malaysia Dateline

Armada Bersatu desak PDRM siasat, Waytha Moorthy perlu letak jawatan

Biro Pendidikan Armada Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggesa supaya PDRM menjalankan siasatan ke atas tindakan Waytha yang ternyata mengkhianati perlembagaan dan rukun negara, kata Exco Armada Malaysia Mohd Ashraf Mustaqim Badul Munir.

Beliau berkata, Menteri di Kementerian Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Senator P. Waytha Moorthy P. Waytha Moorthy bukan sahaja hilang ‘locus standi’ bagi membicarakan isu ICERD untuk memohon maaf atas perlakuan beliau, malah atas dasar menghormati kerukunan dalam negara, beliau perlu letak jawatan kerana mampu berterusan membangkitkan lagi kemarahan rakyat!.

“Armada memandang serius pernyataan yang pernah dibuat Senator P. Waytha Moorthy rentetan video lama yang kini terbongkar tular serta membangkitkan kemarahan khalayak dalam temubual yang pernah dirakamkan rangkaian televisyen Belanda.

“Selaku Exco Armada, saya tambah terkesan bukan sahaja dengan video tersebut, malah melalui kenyataan rasmi penjelasan balas Waytha menerusi kapasiti Hindraf, bertarikh 18 November 2018 (semalam) yang tanpa sedikitpun mempamerkan rasa kesal jauh sekali tanda permohonan maaf atas tindakan yang pernah dilakukan beliau,

“Dalam kenyataan balas itu juga, Waytha kelihatan seakan berkeras mempertahankan pernyataan yang pernah dibuat beliau seperti dalam temubual video berdurasi 2 minit 39 saat dipercayai sekitar tahun 2011 itu,” ujar Exco Armada Malaysia Mohd Asyraf Mustaqim Badul Munir dalam kenyataannya.

Katanya Biro Pendidikan ARMADA juga kesal kerana Waytha dipercayai cuba berbohong menerusi penjelasan terbaharu beliau apabila mengatakan bahawa video temubual yang tular itu dilakukan sekitar tahun 2007.

“Sedang dengan jelas dalam video temubual itu, beliau menyebut “Over Last 54 Years Since Independent”; ini bererti video tersebut dipercayai terhasil sekitar tahun 2011 mengambilkira Merdeka pada tahun 1957.

“Waytha juga kelihatan berdolak-dalik dalam cubaan menyelamatkan diri dengan menyalahkan kezaliman rejim Umno-BN ke atas pergerakan beliau sedang apa yang diperkatakan Waytha sendiri dalam video tersebut jelas merupakan suatu falasi (tanpa sedikitpun merujuk kepada Umno) dan pengkhianatan ke atas negara menerusi praktik Perlembagaan Persekutuan malah turut menampakkan wajah sebenar Waytha yang tidak berpegang pada tunjang kedaulatan negara iaitu perlembagaan itu sendiri.

“Pernyataan falasi utamanya seperti penganut agama Hindu bukan sahaja dihalang bagi mengamalkan kepercayaan mereka malah beliau turut menyatakan bahawa penganut Hindu ‘dipaksa’ meninggalkan agama Hindu di Malaysia adalah merupakan suatu tuduhan yang berat oleh Waytha sepertimana yang saya perkatakan ianya bertentangan dengan praktik Perlembagaan Persekutuan malah berupa suatu kenyataan yang berunsur hasutan dan mampu mencetuskan ketegangan serantau domestik dan antarabangsa,” ujarnya.

Kata Mohd Asyraf Mustaqim lagi, Perkara 3 mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, dan membebaskan penganut lain untuk mempraktikkan samada dari segi adat dan kepercayaan (kecuali menyebar ajaran ke atas umat Islam itu sendiri) disokong Perkara 11 Perlembagaan Malaysia dan praktik ini sekian lama jelas diamalkan dan dihormati oleh setiap kaum di Malaysia.