Armada Bersatu gesa dakwaan terhadap Hasanah disiasat

Oleh MALAYSIADATELINE

Dr Muhammad Faiz Na’aman

Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salah Guna Kuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional menggesa pihak berwajib menyiasat dengan adil, tegas dan terbuka dakwaan ke atas perbuatan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dikaitkan dengan Agensi Risikan Pusat (CIA).

Ketuanya Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, dakwaan terhadap Hasanah yang mewakili Kerajaan Malaysia dari Barisan Nasional (BN) ketika itu, mengutus surat kepada agensi perisikan Amerika Syarikat yang cukup terkenal dengan kegiatan pengintipan dan sabotaj tersebut sewajarnya tidak harus berlaku.

Dalam kenyataanya Dr Muhamad Faiz yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, merujuk kepada surat rasmi mewakili MEIO tersebut bertarikh 4 Mei 2018 yang menjadi viral mengandungi tuduhan serta fitnah terhadap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Fitnah yang dilemparkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan perbuatan meminta campurtangan agensi perisikan asng sama ada secara terang-terangan atau subversif oleh mana-mana pihak di negara ini tidak wajar berlaku.

“Bukan sekadar itu, malah terdapat unsur hasutan dengan niat supaya Amerika Syarikat campurtangan dalam urusan politik nasional bagi menghalang kemenangan Pakatan Harapan sambil memuji-muji hubungan baik Perdana Menteri Malaysia ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pentadbiran Amerika Syarikat.

“Kandungan surat itu juga mendakwa Tun Dr. Mahathir adalah seorang yang anti semitik (anti Yahudi) dan anti Barat sepertimana laungan golongan neo-konservatif pro Zionis di negara tersebut terhadap tokoh-tokoh pemimpin dunia yang lantang membela nasib warga Palestin dan kedaulatan negara mereka dari hegemoni pihak penjajah Barat.

“Surat rasmi tersebut telah disahkan asli oleh peguam kepada Datuk Hasanah sendiri dalam satu sidang media pada 31 Julai lalu namun pihaknya berkata ia merupakan “perkara rutin” dan menafikan keterlibatan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri ketika itu. Walhal MEIO merupakan satu agensi yang berada di bawah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, di mana ia menjawab terus kepada Perdana Menteri.

“Mustahil Datuk Seri Najib langsung tidak tahu menahu mengenai pengutusan surat rasmi tersebut kerana ia melibatkan hubungan diplomatik antara dua negara. Kebocoran surat tersebut telah menimbulkan keresahan orang awam mengenai integriti Kerajaan Barisan Nasional serta agenda tersembunyi untuk menjadikan negara ini proksi kepada kuasa asing.

“Lantas membelakangi semangat Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang dianggotai Malaysia pada tahun 1970, malah melanggar kesepakatan Zon Keamanan, Kebebasan dan Keberkecualian (ZOPFAN) yang ditandatangani oleh Menteri Luar negara-negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Kuala Lumpur pada tahun 1971,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan membuka ruang kepada agensi asing supaya terlibat menentukan urusan politik Malaysia merupakan tindakan pengkhianatan terhadap negara (High Treason).

Apatah lagi ujarnya, jika campurtangan itu kelak bakal memberi impak terhadap sistem negara ini yang berasaskan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Justeru beliau menyeru agar rakyat negara ini, tidak lupa sejarah beberapa negara yang terjebak dengan peperangan termasuk perang saudara akibat pemimpin mereka yang mengundang campurtangan kuasa asing.

“Contohnya seperti Mantan Presiden Afghanistan yang berhaluan sosialis Dr. Mohammad Najibullah Ahmadzai yang memohon campurtangan Kesatuan Soviet dalam krisis politik di negaranya lantas menyebabkan pencerobohan kuasa besar komunis tersebut pada Disember 1979,” ujarnya yang mahu siasatan segera dilakukan kepada bekas perisik Malaysia itu.

Sebagai rekod pada 31 Julai lalu Datuk Hasanah telah membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau menghantar surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA).

Sebelum ini, media melaporkan Hasanah menandatangani surat tiga halaman bertarikh 4 Mei lalu dan diutuskan kepada Gina Haspel.

Menerusi surat terbabit, MEIO yang beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), didakwa meminta Amerika Syarikat (AS) untuk menyokong pentadbiran Datuk Seri Najib Razak jika Barisan Nasional (BN) menang mudah atau hanya meraih majoriti satu kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menerusi surat itu, MIEO menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif dan mesra AS dan akan terus menyokong kehadiran AS di rantau ini.

Tanpa kehadiran Najib sebagai pemimpin negara ini, agensi itu memberi gambaran yang AS bakal kehilangan rakan kongsi yang boleh dipercayai di Asia Tenggara.