Malaysia Dateline

Armada bidas dakwaan Dr Boo Cheng desak Mahathir letak jawatan kerana gagal lunas manifesto

Exco Armada Nasional hari ini membidas kenyataan dibuat Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor, Dr. Boo Cheng Hau yang mendesak perletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan ekoran ‘kononnya’ kegagalan pemimpin utama PH itu dalam melunaskan manifesto.

Mohd Ashraf Mustakim Abdul Munir mempersoalkan sama ada Dr Boo Cheng ingin menafikan kejayaan semasa kerajaan pusat di bawah pimpinan PH yang mana sebanyak 36 pencapaian telah dicapai di pelbagai peringkat?
.
Kata beliau dalam ‘10 Janji 100 Hari Pakatan Harapan’; dua dari sepuluh janji telah berjaya dilunaskan. Lima janji terlaksana sebahagian darinya manakala ‘hanya’ tiga janji yang masih dalam proses pelaksanaan.

“Gesaan dan naratif yang dibawa oleh AJK DAP, Dr. Boo Cheng Hau ini jelas tidak berasas. Dan ianya sama dengan naratif yang dibawa oleh pengkhianat negara dalam BN melalui Najib Razak.

” Maka saya cadangkan, Boo Cheng Hau layak untuk angkat kaki dari PH dan boleh sertai MCA untuk duduk di bawah telunjuk Umno yang rasis sama seperti MCA, andai suka bermain dengan api yang merosakkan Pakatan Harapan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr Boo Cheng Hau, hari ini mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan kerana memperlekeh manifesto Pakatan Harapan (PH) pilihan raya umum ke-14.

Boo, yang juga ahli jawatankuasa DAP negeri berkata, dakwaan Dr Mahathir bahawa manifesto itu hanya “panduan dan bukan kitab” menunjukkan beliau tidak berkeyakinan terhadap diri dan manifesto itu sendiri.

Mohd Asyraf Mustakim berkata,jika benar, apa yang dikatakan oleh Dr Boo Cheng, sepatutnya bukan Dr Mahathir sahaja yang perlu meletakkan jawatan.

“Malah seluruh menteri kabinet dari DAP juga wajib letak jawatan. Ini kerana apa yang dipertanggungjawabkan ini bukan ke atas Dr Mahathir sahaja, namun ke atas seluruh kepimpinan PH.
.
“Mungkin Boo Cheng Hau lupa, atau tidak pernah ambil tahu, kalau nak cakap tentang manifesto, orang yang perlu dipertanggungjawabkan bukanlah Dr. Mahathir dari awal.

“Namun yang terhegeh-hegeh nak menterjemahkan sebagai manifesto adalah beberapa individu yang tidak mahu mendengar nasihat dan kritikan malah terus melobi ke Majlis Presiden PH. Maka seluruh pimpinan jelas bertanggungjawab. Bukan Dr Mahathir,” tegasnya.
.