Malaysia Dateline

Armada cadang lantik tiga Senator tambahan dari Kelantan

Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu)  Kelantan meminta Perdana Menteri untuk melantik seorang menteri penuh dan tambahan tiga senator lagi dari negeri Kelantan.

Ketuanya Asran Alias berkata, negeri itu memerlukan lonjakan dari segi infrastruktur dan ekonomi yang mana pelantikan seorang menteri penuh dari Kelantan akan menjadi katalis ke arah hasrat itu.

” Buat masa ini tiada menteri penuh dari Kelantan dan saya sangat berharap dengan khabar angin rombakan kabinet yang dikatakan akan berlaku memungkinkan perlantikan seorang menteri penuh dari Kelantan” ujar beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Asran yang juga merupakan Ketua Armada Bahagian Jeli turut mencadangkan agar beberapa senator lagi dilantik dari negeri Kelantan.

“Kita perlukan suara Kerajaan Pusat yang lebih kuat di Kelantan. Penambahan beberapa orang senator dari Kelantan akan membantu melancarkan representasi rakyat Kelantan di dalam kerajaan pusat.”

“Saya mencadangkan agar Datuk Kamaruddin Md Nor dari Bersatu, Datuk Sri Supardi Md Nor dari PKR dan Peguam Hisham Fauzi dari AMANAH dilantik sebagai Senator.

” Mereka semua ini sangat berkelayakan dan perlantikan mereka akan pasti membantu mengukuhkan Pakatan Harapan Kelantan dan membantu representasi pentadbiran kerajaan pusat di Kelantan.

“Kita berhasrat untuk menjadikan Pakatan Harapan dekat dengan rakyat dan memenuhi aspirasi Malaysia Baru secara akar umbi di negeri Kelantan” tambahnya lagi,” ujarnya.