Malaysia Dateline

Armada dakwa penahanan SPRM ‘diamkan’ ahli untuk berbeza pandangan

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menahan pimpinan sayap pemuda parti itu seorang demi seorang.

Ulya Husamudin

Ketua Penerangannya, Ulya Husamudin berkata, penahanan tersebut dilakukan terhadap mereka yang telah mendedahkan dan memohon SPRM untuk menyiasat isu agihan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak takut dengan penahanan SPRM yang didakwa tanpa pertuduhan yang jelas.

“Kami tidak takut! Pimpinan Armada sedang ditahan satu persatu. Kononnya utk siasatan tapi tiada jelas pun pertuduhan.

“Segala perbelanjaan dan sumber kewangan sebelum ini sentiasa dimaklumkan kepada Pengerusi dan Presiden. Peguam sudah siap siaga.

“Ini mereka-mereka yang telah dedahkan dan mohon SPRM siasat audio agihan GLC oleh Tan Sri Muhyiddin. Yang dedahkan kemungkaran pula ditahan dan ditekan,” ujarnya dipetik dari Facebook beliau.

Sehubungan itu, Ulya menggesa anggota Armada celik dan menilai perjuangan mereka.

Untuk rekod, Ulya difahamkan satu kem dengan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar.

Mereka adalah kem Armada yang berpihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertembungan parti itu dengan blok penyokong Muhyiddin.

Dalam masa sama, Ulya dalam kenyataan medianya berharap SPRM akan melaksanakan siasatan yang adil dan telus terhadap pimpinan Armada terbabit tanpa berat sebelah.

“Armada percaya penahanan ini satu bentuk tekanan untuk mendiamkan ahli Armada yang sebelum ini bersuara dan berbeza pandangan dengan pimpinan atasan parti.

“Kita tidak mahu Malaysia mengundur ke belakang dan kuasa dijadikan alat untuk menundukkan ahli parti yang berbeza pandangan dengan dan berani bersuara,” tegasnya.

Ulya turut mengingatkan anggota Armada untuk tidak tunduk pada tekanan sebaliknya sentiasa berani kerana benar kerana asas perjuangan Bersatu melawan rejim kezaliman.