Malaysia Dateline

Armada dakwa rampasan RM600,000 bantuan Ramadan, Hari Raya

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menjelaskan wang tunai RM600,000 yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin adalah sebahagian dari jumlah wang yang dikeluarkan bagi persiapan untuk kegunaan bantuan Covid-19, bulan Ramadan dan Hari Raya.

Kenyataan lima perenggan tanpa nama itu memberitahu bantuan tersebut ekoran ketidaktentuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Fasa pertama bantuan makanan telah diedarkan di seluruh negara pada bulan Ramadan. Bantuan kebajikan tambahan juga telah diagihkan melalui kepada mereka yang memerlukan.

“Ini adalah perkara asas bagi menjaga kebajikan ahli seperti mana yang dilakukan oleh parti Bersatu di peringkat Pusat,” dipetik dari kenyataan itu.

Selain wang tunai RM600,000, SPRM juga merampas sebuah kereta dianggarkan bernilai RM100,000 milik seorang ahli parti tersebut yang dipercayai dibeli menggunakan dana yang disalah gunakan.

Sehubungan itu, Armada berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan SPRM untuk menyiasat hal tersebut selagi mengikut garis panduan dan prosedur yang betul.

“Kami sentiasa berpegang pada prinsip berani kerana benar.

“Armada Bersatu Malaysia setegas-tegasnya tidak menyokong sebarang bentuk penyelewengan wang. Maka kami alu-alukan penyiasatan dijalankan dengan adil,” katanya lagi.