Malaysia Dateline

Armada desak buka semula siasatan Altantuya

Armada Bersatu mendesak supaya dibuka semula siasatan pembunuhan Altantuya.

Ekoran itu Exco Pendidikan Armada Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bersama-sama dengan ahli-ahli dibawah Biro Pendidikan Armada telah membuat laporan polis di Balai Polis USJ8, Subang Jaya semalam setelah adanya perakuan dan dakwaan terbaru Azilah Hadri mengenai kes pembunuhan Altantuya Shaaribu.

Menurut Ashraf lagi, dakwaan tersebut telah pun dibuat secara akuan bersumpah dengan turut bersumpah atas nama Allah s.w.t. bahawa beliau telah diarahkan oleh dua penama iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan pegawai khas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Razak Baginda.

Sehubungan itu katanya, laporan tersebut telah dibuat bagi menuntut keadilan sepertimana diperakui oleh Azilah yang telah berani tampil untuk menjelaskan secara akuan bersumpah keatas Najib dan Razak Baginda.

“Kami menuntut supaya kes ini dibuka semula dan disiasat secara telus dan adil kerana ianya melibatkan nyawa seorang anggota yang asasnya sanggup berkorban nyawa demi negara.

“Juga dipohon supaya siasatan dibuat berkaitan DSP Musa dengan Najib dan Razak Baginda serta menyiasat apakah maklumat rahsia negara yang telah jatuh ke tangan individu yang dituduh perisik oleh Najib.

“Siapa yang melakukan pengkhianatan keatas negara sehinggakan maklumat rahsia dengan mudah bocor dan mampu menggadai nyawa insan yang dikatakan sekadar menerima arahan pembesar negara, ” jelasnya.

Tegas Ashraf lagi, mewakili Armada dan Bersatu, maka adalah didesak dan mencabar Umno dan komponen Barisan Nasional untuk turut membuat laporan yang sama keatas Najib bagi menuntut supaya keadilan dapat ditegakkan serta memulihkan imej ahli parti yang turut

terpalit dalam isu yang menggugat imej, maruah serta kedaulatan negara.

Tambahnya, apatah lagi setelah rahsia kerajaan dengan begitu mudah dikatakan telah jatuh ke tangan musuh serta terlibat secara langsung dalam kes pembunuhan terancang Altantuya.