ARMADA hanya main politik, tak pertahankan Melayu, bidas Wira Putra

ARMADA hanya main politik, tak pertahankan Melayu, bidas Wira Putra

Tindakan Pemuda Bersatu (ARMADA) yang melancarkan petisyen mendesak kerajaan mengharamkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), disifatkan sebagai satu agenda politik yang tidak mempertahankan masyarakat Melayu.

Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, ARMADA perlu mengambil langkah bijak sebelum melakukan apa-apa keputusan, malah tidak seharusnya melakukan tuntutan petisyen itu.

“Inisiatif tersebut kita lihat hanya bersifat politik dan bukan bersifat benar-benar mempertahankan hak orang Melayu atau apa-apa yang berkaitan dengannya.

“Jadi, kita mengharapkan ARMADA ambil langkah bijak iaitu berbincang dengan kepimpinan tertinggi, sebab anda itu kerajaan. Tak perlu tuntut petisyen, ini mainan politik dan tak ada tujuan nak pertahankan orang Melayu.

“Jangan memperlihatkan tindakan-tindakan itu seperti remeh sangat, terlalu populis hendak mendapatkan nama. Tak sesuai sebab ketua anda ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum haramkan Dong Zong, di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohmad yang melabelkan Dong Zong sebagai rasis mendorong sayap pemuda parti itu melancarkan petisyen bagi mendesak pertubuhan itu diharamkan.

Sehingga semalam, petisyen yang dilancarkan menerusi laman web change.org itu sudah mendapat lebih 120,000 sokongan.