Malaysia Dateline

Armada kecam tindakan NGO promosi LGBT

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mengecam serta menolak sebarang usaha mempromosikan budaya Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, dan Queer (LGBTQ) di negara ini.

Ketua Biro Integriti, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata tindakan penganjur perarakan dan perhimpunan sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 2Mac lepas sebagai biadab, tidak sensitif, terdesak dan mempunyai unsur-unsur provokasi terhadap ketenteraman awam.

“Ada agenda tersirat yang berselindung di sebalik nama hak wanita, hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

“Mereka mahu membawa elemen kebebasan melampau di luar fitrah manusia normal seperti budaya LGBTQ serta pengiktirafan terhadap kegiatan maksiat yang melibatkan eksploitasi wanita seperti pelacuran.

“Buktinya begitu nyata apabila adanya sepanduk, kain rentang, bendera dan pakaian para peserta perarakan yang memaparkan imej serta kata-kata yang menjurus kepada niat sebenar kelompok tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata golongan ini cuba menggambarkan seolah-olah kaum wanita dan pengamal LGBTQ di negara ini mempunyai status yang sama, kononnya kelompok tersebut mengalami penindasan lebih dari pihak lain.

Namun hakikatnya golongan LGBTQ tersebut mahu masyrakat di negara ini mengiktiraf aktiviti serta pemaparan budaya berunsurkan seks mereka secara bebas di tempat awam.

“Kami berdiri teguh dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan bahawa sistem nilai majoriti masyarakat negara ini tidak sama dengan sistem nilai kebebasan sosial yang diamalkan oleh pihak Barat.

“Kami menasihati mana mana pihak yang ingin mengekspresikan kebebasan bersuara agar mengikut salur perundangan yang betul berpandukan akta keamanan yang ada dan keperluan memohon permit sebelum mengadakan apa-apa perhimpunan,”katanya.