Malaysia Dateline

Armada mahu KPM bantu sekolah sedia kemudahan PnP

Exco Armada Nasional Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir hari ini memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membantu kelicinan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

Ashraf berkata terdapat laporan dan aduan yang diterima dari beberapa sekolah kepada Biro Aduan Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) terutamanya berkenaan isu kekurangan guru.

“Tiadanya peruntukan guru ganti, sekiranya ada guru bersalin atau cuti sakit berpanjangan kelihatan cukup meruncing. Ini kerana ia boleh membebankan dan mengganggu proses penyampaian ilmu di sekolah-sekolah

“Dalam tempoh dua bulan sebelum ini, pelajar sekolah SMK Sg. Ara di Pulau Pinang tidak menjalani proses PnP bagi sesi petang untuk subjek Sains dan Matematik kerana kekurangan guru yang mencapai jumlah sehingga 5 orang,”katanya.

Cekupan skrin guru berkaitan dengan permasalahan peralatan pengajaran dan kekurangan guru yang dihantar kepada kumpulan whatapps Agra.

Namun beliau berterima kasih kepada pihak KPM kerana telah bertindak pantas menangani isu kemasukan guru di sekolah tersebut.

Beliau turut Presiden Agra berkata, isu peruntukan kertas juga telah membebankan perbelanjaan sekolah setelah peruntukan tersebut dipotong.

“Ianya jelas mengganggu pengurusan peperiksaan di sekolah-sekolah termasuk apabila peperiksaan PT3 diserahkan secara total di bawah pengurusan pentaksiran sekolah.

“Agra juga menerima pelbagai aduan tentang ketiadaan meja dan kerusi sehingga ramai pelajar terpaksa duduk di lantai tanpa keselesaan demi meneruskan sesi pembelajaran,”katanya.

Beliau berkata, banyak sekolah, ibu bapa, malah pimpinan masyarakat termasuk daripada kalangan beberapa wakil rakyat sendiri mengadu permintaan dari sekolah-sekolah tidak mempunyai kelengkapan yang cukup.

Sementara itu beliau menegaskan bahawa pihak biro pendidikan Armada mahupun Agra bersedia menyalurkan segenap informasi atau aduan jika terdapat sabotaj politik yang boleh merencatkan perubahan yang sedang giat dilakukan oleh pihak kementerian pendidikan.