Malaysia Dateline

Armada N9 tunjuk komitmen bantu kempen calon Warisan

Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) menyatakan komitmennya untuk bersama-sama menggembeleng tenaga bagi memastikan kemenangan Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Ketua Armada Negeri Sembilan, Muhammad Aziim Mustafa, berkata, calon Warisan yang merupakan anak tempatan negeri itu sememangnya bertepatan dengan kriteria yang dimahukan masyarakat Sabah.

“Armada di bawah pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan memberi sokongan penuh kepada calon yang diangkat dan akan membantu bagi memastikan kemenangan di Kimanis.

“Dengan adanya semangat rakyat Sabah yang melaungkan ‘Sabah for Sabahan’, membuktikan mereka mahukan Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Sri Shafie Apdal untuk terus menjaga masyarakat Sabah yang terdiri dari pelbagai etnik kaum dan bangsa.

“Saya yakin dan percaya Warisan di bawah parti Komponen Pakatan Harapan mampu memberikan kemenangan sekaligus dapat melaksanakan pembaharuan di sana,” ujarnya.

PRK Kimanis pada 18 Januari depan akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.