Armada Perak gesa hormati tugas, tanggungjawab polis

Armada Perak gesa hormati tugas, tanggungjawab polis

Armada Bersatu Perak mengingatkan semua pihak mesti menghormati tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga keselamatan sama ada parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh berkata, menjadi pemimpin atau penyokong parti pemerintah bukan tiket kepada mana-mana pihak untuk bertindak kurang ajar dan tidak menghormati pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau dalam kenyataannya hari ini mengecam lima individu yang bertindak melampau terhadap pihak berkuasa dengan memeriksa kereta peronda polis pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

“Semua pihak perlu akur peranan pihak berkuasa dalam memastikan segala urusan PRK berjalan lancar sepanjang tempoh kempen berlangsung sehinggalah hari mengundi,” tegasnya.

Menurutnya, Armada Bersatu Perak mengucapkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menjalankan amanah mereka dengan profesional dan penuh dedikasi sepanjang PRK DUN Rantau.

“Sehinggakan amat kurang sekali berlaku insiden-insiden yang tidak diingini melainkan kes-kes terpencil sepanjang enam PRK yang telah berlangsung selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14,” ujar Hafez lagi.

Semalam, sekumpulan penyokong parti politik menahan kereta peronda polis yang dinaiki dua anggota di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua di Rantau.

Mereka dipercayai bertindak demikian kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.

Dalam perkembangan berkaitan, polis telah menahan dua lelaki tengah hari tadi yang terbabit dengan kejadian tersebut iaitu seorang penjual kereta terpakai, 52 dari Seremban dan pemandu lori, 53 dari Rantau.

Kedua-dua mereka ditahan di rumah masing-masing dan dikenal pasti sebagai ahli biasa parti politik manakala tiga individu lain sedang dikesan bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu kerana menghalang tugas penjawat awam.