Armada Selangor gesa kem Rafizi fokus isu lebih besar, amal politik matang

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemuda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menggesa kem (penyokong) Rafizi agar tidak mengaitkan Presiden Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad,dalam mana-mana modal kempen pemilihan parti itu.

Ketua Armada Bersatu Selangor Adhif Syan Abdullah berkata, tindakan sebegitu adalah tidak berasas sama sekali untuk memburukkan Dr Mahathir dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jelas perbuatan itu kebudak-budakan dan mencalar kesatuan yang dibinagah secara bersama hanya disebabkan kerisauan tidak berasas oleh kem Rafizi ataupun lebih jelas kerana motif peribadi mengecap kedudukan dalam saf kepimpinan PKR.

“Ini termasuk menimbulkan persepsi kotor kononnya berlaku
konspirasi atau usaha mensabotaj kelangsungan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut Adhif Syan lagi, setiap parti dalam gabungan PH di diterajui Dr Mahathir yang membawa dinamisme kesinambungan Anwar yang menyaksikan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke -14 lalu dan mengambil alih kerajaan.

Namun tindakan kem Rafizi dengan menyerang Datuk Seri Azmin Ali mendakwa beliau tidak setia kepada Anwar dan akan menentangnya dalam pemilihan jawatan presiden, namun segalanya tidak berlaku dan ternyata hanya lontaran persepsi oleh kem Rafizi.

“Kini isu dalaman parti ini ingin dikaitkan pula dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang secara jelas dalam banyak kenyataan beliau bersedia untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Anwar Ibrahim atau sesiapa jua yang dikehendaki rakyat.

“Saya berusaha mempastikan pihak ARMADA pelbagai peringkat di negeri Selangor meletakkan sepenuh jiwa dan raga bagi memastikan kejayaan Pakatan Harapan melalui kerjasama erat gabungan setiap parti.

“Kini Tun Dr. Mahathir di usia 93 tahun bertungkus-lumus bersengkang mata berusaha merencana agenda perubahan buat negara setelah dirosakkan oleh rejim BN dengan membawa semangat reformasi yang disepakati oleh seluruh gabungan.

” Tindakan permainan persepsi ini jelas perbuatan yang mampu mengakibatkan sengketa danmemecahkan kapal besar Pakatan Harapan,” ujarnya.

Semalam Majlis Pimpinan Tertinggi  Bersatu Wan Saiful Wan Jan juga dilaporkan melahirkan kegusarannya mengenai terdapat tindakan beberapa pemimpin PKR dakwanya yang melemparkan tuduhan liar dan fitnah  terhadap Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri Malaysia untuk menghalang Anwar mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan.