Malaysia Dateline

Armada seru Syed Saddiq kembali ke meja rundingan, elak demontrasi

Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak pemimpin parti kembali kepada meja rundingan bagi menangani krisis politik selepas parti itu keluar dari gabungan Pakatan Harapan pada 24 Februari lepas.

Menerusi kenyataan bersama Exco Armada Nasional Mahathir Mohd Rais dan Ketua Armada Terengganu Syaiful Irfan Anang.berkata, situasi politik negara memasuki fasa membimbangkan.

Ini kerana pergolakan yang semakin ketara diantara pucuk pimpinan telah mencetus situasi yang kurang menyenangkan dikalangan akar umbi parti.

“Tindakan berkempen dan mengajak ahli dan rakyat turun kejalanan semula untuk berprotes adalah satu tindakan yang kami kira kurang bijak dan merugikan.

(kiri) Mahathir Mohd Rais dan (kanan) Syaiful Irfan Anang

“Biar beza ideologi namun jangan sampai kita berpecah belah.

“Jangan kita jadikan isu peribadi atau pandangan peribadi sebagai keutamaan.

“Kita harus kembali bersatu sebagai Parti yang memerintah meneraju serta mendokong aspirasi Kerajaan terdahulu untuk kepentingan rakyat,” ujarnya dalam kenyataan itu.

Ini susulan tumbangnya kerajaan PH dan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal bersama Pakatan Harapan (PH) yang menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Syed Saddiq dan pimpinan PH dikatakan akan menjelajah seluruh negara dalam siri ceramah dan terkini beberapa NGO yang pro PH telah mengdakan demontrasi pada Ahad lepas untuk memprotes kerajaan pintu belakang gabungan Bersatu, BN dan Pas.

PH melabelkan gabungan Perikatan Nasional sebagai tidak demokratik dan pengkhianat kerana merampas mandat yang diberikan rakyat dalam PRU14 lepas.

Tambah Armada lagi, Melalui beberapa siri penjelasan yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi Parti, kami berpendapat bahawa isu dalaman Parti harus diselesaikan secara dalaman dan bukan secara terbuka.

“Maka kami telah bersepakat untuk membuat kenyataan bersama, bagi mendesak pucuk pimpinan Parti untuk kembali ke meja rundingan serta mengamalkan sikap professional dan berjiwa besar bagi menjadi contoh yang baik kepada ahli akar umbi.

“Rata rata akar umbi menyokong kepimpinan serta kewibawaan Presiden Parti Tan SriMuhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.

“Penerimaan rakyat terhadap pelantikan beliau adalah JELAS. Kami percaya kaedah peralihan kuasa kerajaan telah berjalan mengikut proses demokrasi berpelembagaan.

Menurut Armada lagi, sayap Bersatu percaya siapa sahaja yang mendapat undian majoriti 222 Ahli Parlimen dalam undi tidak percaya di Dewan Rakyat adalah juga mewakili Bersatu akar umbi dan rakyat.

“Cukuplah rakyat terkesan daripada apa yang telah berlaku.

Pucuk kepimpinan Parti harus fokus semula kepada dasar pembentukan negara ke arah lebih progresif dan mampan baik dari segi ekonomi, sosial dan kestabilan politik.

“Sebagai sebuah Parti yang ditubuhkan dengan Perlembagaan kami menyarankan baik pemimpin dan ahli untuk menjaga kelakuan dan ingat batasan seperti termaktub.

“Kami berharap dengan perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin maka selesailah segala kemelut politik negara.

“Kami juga menyambut baik saranan Ayahanda Tun bagi mengenepikan segala perbezaan politik dan parti politik buat masa ini dan fokus kepada pemulihan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya.