Armada sudah sedia perancangan dedah tanggungjawab, kepimpinan anak muda

Armada sudah sedia perancangan dedah tanggungjawab, kepimpinan anak muda

Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), meyakini sudah bersedia dengan beberapa perancangan mendedahkan anak muda tentang tanggungjawab dan kepimpinan selepas had umur kelayakan mengundi telah diturunkan ke 18 tahun.

Exco Pendidikan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, Armada antara gabungan yang sudah memasuki ke sekolah-sekolah di bawah satu badan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun 2017 untuk memperkenalkan agenda kenegeraan dikalangan pelajar.

Malah katanya, pendedahan kepada anak muda bukan berdasarkan semangat kepartian, sebaliknya ia membabitkan kesedaran untuk mematangkan pemikiran golongan itu.

“Sebenarnya, Armada di bawah Exco Pendidikan sudah memasuki sekolah-sekolah dan menggiatkan aktiviti sejak tahun 2017 lagi, tapi kami tak pakai nama parti. Kami bawa nama Ngo dan kami tak cakap tentang politik pun.

“Kami mendedahkan tentang agenda kenegaraan, kepimpinan, rukun negara, perlembagaan, perubahan dan sebagainya. Kita bagi kefahaman berkenaan tugas kepimpinan anak muda pada masa hadapan. Jadi kita tak bawa agenda kepartian dan daripada situ sebenarnya kami dah bersedia,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Jelasnya, program Malaysia Future Leaders School (MFLS) juga telah dilaksanakan bagi menggantikan program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang memberi fokus kepada belia berumur 15 hingga 17 tahun.

“Maka dengan program MFLS yang diusahakan sendiri oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini akan mendedahkan belia tentang agenda negara dan membentuk persediaan untuk menjadi penentu hala tuju negara.

“Kita tak akan tengok lagi anak muda berumur 17 tahun tak kira Melayu, Cina, dan India yang baru nak tahu Rukun Negara, baru nak faham tentang perlembagaan. Dari program ini kita sudah bersedia dan telah terapkan kesedaran dari awal.

“Ramai orang kritik bahawa usia undi 18 tahun ni orang mengatakan anak muda tak matang. Jadi disini lah permulaan kita nak lahirkan anak muda yang bersedia,” katanya.

Justeru itu katanya, semua pihak perlu menerima bahawa anak muda semakin matang membuat keputusan menentukan hala tuju negara, bahkan mereka lebih matang menolak politik toksik dan rasis.

Menurutnya, wajar supaya kerajaan melaksanakan inisiatif memasukkan pendidikan politik dan pilihan raya sebagai subjek Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah rendah dan menengah.

Namun katanya, pendidikan itu kelak bukanlah berdasarkan politik kepartian semata-mata, tetapi lebih kepada kenegaraan supaya belia mula cakna tentang isu sensitif dalam negara.

“MFLS sememangnya sudah melaksanakan pendidikan tentang negara. Siapa kata kita tak bersedia? Kita bukan beri kesedaran politik kepartian. Kita mesti tolak politik kepartian bila kita bicara tentang kenegaraan. Budaya ini harus dihentikan supaya bila kita bawa agenda kenegaraan, barulah orang akan faham keseluruhannya.

“Kita akan lihat generasi anak muda yang bijak menilai. Kalau seorang pemimpin melakukan keburukan terhadap negara seperti mencuri duit, mereka tidak akan pilih pemimpin tersebut. Ini kerana dia cintakan negara dia. Bukan kerana nak ikut politik ‘Bossku’ itu,”ujarnya