Malaysia Dateline

‘Artificial Intelligence’ boleh bantu cegah rasuah, salahguna kuasa, kata perwakilan Kelantan

‘Artificial Intelligence’-AI (kecerdasan buatan) boleh membantu pencegahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa seterusnya mewujudkan kedayahidupan ekonomi yang berpanjangan.

Menurutnya perwakilan dari Kelantan, Asran Alias, AI salah satu cabang Ilmu pengetahuan yang berinteraksi antara mesin dan otak manusia terutama dalam memecahkan persoalan yang rumit dengan cara yang lebih manusiawi.

“Hal Ini biasanya dilakukan dengan mencontohi karakteristik dan analogiberpikir dari kecerdikan manusia, dan menerapkannya sebagai algoritma yang dicipta oleh komputer.

“Artificial Intelligence sangat berkait rapat dengan Sains, Teknologi, Engineering (Kejuruteraan) dan Matematik (STEM). Penerapan ini sangat penting bagi mewujudkan order baru Ekonomi Dunia iaitu Revolusi Industri 4.0,” ujarnya kepada  Malaysiadateline, selepas ucapan perbahasan dasar Armada Kelantan  tajuk ‘Bagaimanakah Artificial Intelligence dalam pendidikan memainkan peranan penting perkembangan ekonomi negara.

Perkara berkaitan AI ini juga disentuh Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sidang medianya hari ini untuk mengulas isu-isu yang dibentangkan dikalangan perwakilan Armada dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 yang sudah dua hari berlansung dan  berakhir esok.

Asran yang juga Ketua Armada Kelantan berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mempunyai masalah besar untuk mewujudkan kereta nasional ke-3 sekiranya AI sudah diterapkan dalam sistem pendidikan negara 15 tahun lalu iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Secara asasnya saya sangat menyokong hasrat PPSMI tetapi ianya mesti disokong kuat oleh Dewan Bahasa & Pustaka terutama dalam penterjemahan istilah berkaitan sains dan matematik.

“Tetapi, kita masih belum terlambat untuk melaksanakannya balik melalui penerapan STEM dalam pendidikan supaya ekonomi kita selari dengan
Revolusi Industri 4.0 ,” ujarnya lagi.