Artikel PM Kanada peluk Islam: Harakah mohon maaf

Artikel PM Kanada peluk Islam: Harakah mohon maaf

Akhbar rasmi Pas, Harakah memohon maaf atas kesilapan menyiarkan artikel mendakwa perdana menteri Kanada Justin Trudeau memeluk Islam.

Harakah memohon maaf dan menarik kembali artikel di muka Fikrah pada keluaran 2243 bertajuk PM Kanada Peluk Islam.

“Sidang pengarang mengakui terdapat kesilapan translasi dan sumber kepada petikan artikel tersebut dan mengakui kecuaian berlaku.

“Dengan itu kami memohon maaf atas kesilapan tersebut dan akan menbuat ralat dalam keluaran 2245 akan datang,” menurut kenyataan yang disiarkan portal Harakahdaily malam tadi.

Permohonan maaf itu dibuat apabila pelbagai pihak menyedari berita itu tidak benar selepas tular di media sosial.

Artikel bertajuk “Ketika ramai di Malaysia sangsi terhadap Islam, PM Kanada peluk Islam” penulis Zainudin Hashim memuatkan dakwaan itu bagi menyokong hujahnya yang bukan Islam semakin tertarik kepada Islam sementara ramai yang sangsi dengan usaha memartabatkan Islam di Malaysia.

“Perdana Menteri Justin Trudeau yang memeluk Islam kerana mendapati Islam dan penganutnya di Kanada adalah yang terbaik dalam segenap tindak tanduk, keperibadian, peradaban dan pergaulan mereka yang mesra alam hingga berjaya menjinak dan melunakkan perdana menterinya,” kata Zainudin.

Artikel itu mengaitkan kontroversi di sebalik isu rang undang-undang memperkasakan Mahkamah Syariah yang dibentangkan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat bulan lalu.

“Tetapi mengapa dan kenapa bukan Islam di Malaysia di mana agama rasminya adalah Islam dan diperintah oleh orang Islam, tidak mahu cuba memahami, mengkaji dan memerhatikan setiap ajarannya, Islam sentiasa diberi gambaran buruk, malah dihina, golongan bukan Islam memprovok Islam dan orang Islam dengan barangan yang tertulis nama Allah dan Muhammad pada kasut dan tatoo pada tubuh sebahagian dari mereka,” soalnya.

TAGS