Malaysia Dateline

Artis akan lapor salahguna dana Finas kepada menteri minggu depan

Leman berucap pada perhimpunan penoreh di pekan Sik.
Leman minta kerajaan PH sekat penyelewengan dalam industri pembikinan filem.

Artis dan karyawan akan menyerahkan maklumat berhubung penyalahgunaan dana Perbadanan Filem Nasional (Finas) dan RTM dalam industri pembuatan filem.

Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawan dalam satu kenyataannya berkata, ada pihak yang cuba terus menyalahgunakan dana ini hatta ketika negara sudah diperintah oleh Pakatan Harapan.

Menurut Leman, beliau sedang mengumpulkan maklumat dan mengenal pasti produksi, individu atau mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dana Finas untuk membuat filem.

“Ada produksi filem yang saya sudah kenal pasti yang cuba mengeklopotasi kementerian Komunikasi diwaktu pemerintahan PH sekarang dimana ianya dikenal sebagai syarikat kroni pada zaman pemerintahan Umno/BN.

“Maklumat yang saya ada hasil kerjasama artis artis yang menyokong Pakatan Harapan akan di serahkan kepada Menteri komunikasi Gobind Deo minggu depan,” katanya.

Ia bertujuan bagi memperbaiki sistem dan membuat pembaharuan yang lebih telus dalam RTM dan Finas.

Dalam kenyataan itu, Leman menyambut baik jaminan menteri yang mahu membersihkan Finas dan RTM dari penyelewengan dana pembuatan filem.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kementerian yang bertindak cepat atas kenyataan dan aduan berkenaan masalah penyelewengan dana pembuatan filem.

“Masih ada golongan yang ingin mengambil kesempatan apabila kerajaan baru Pakatan Harapan memerintah,” kata Leman yang juga Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Sik itu.

Menurut beliau, semasa PH menjadi pembangkang, isu ketidak telusan dalam mengagihkan dana filem ini sudah acap kali diadukan oleh para artis supaya ianya dibawa ke peringkat tertinggi.

Tetapi oleh kerana masa itu masih lagi dibawah Pemerintahan BN, banyak kenyataan media yang dikeluarkan oleh beliau pada masa itu tidak diendahkan oleh kerajaan.

Katanya, banyak dana Finas dan RTM yang dimonopoli oleh golongan lantikan politik Umno/BN sebelum ini.

Katanya, isu kebocoran dana ini bukan sahaja melibatkan pegawai Finas yang dilantik zaman pemerintahan Umno/BN tetapi melibatkan produksi kroni dan persatuan yang kebanyakannya mementingkan peribadi dengan alasan ingin membantu ahli-ahli persatuan terutama artis.

“Penyalahgunaan dana ini benar-benar berlaku di waktu pemerintahan kerajaan yang terdahulu,” katanya.