Malaysia Dateline

Artis dalam dunia politik

Bukanlah suatu berita mengejutkan apabila penghibur popular tanah air Afdlin Shauki dan Altimet menyertai Parti Keadilan Nasional (PKR) kerana di negara kita ada beberapa selebriti yang cukup dikenali dan pernah mewarnai arena politik tanah air.

Sebelum ini Datuk Hans Issac telah menyertai PKR dan disebut-sebut mungkin menjadi calon untuk parlimen Ampang.

Penyanyi, Aishah misalnya antaranya menyertai Pas bertanding sebagai calon Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) .

Pada tahun sama, dunia politik tanah air juga menyaksikan penyanyi veteran, Herman Tino bertanding di Parlimen Tanjung Karang atas tiket sebagai calon Bebas. Namun penyanyi lagu Serampang Laut itu meraih 340 undi sahaja dalam pertembungan tiga penjuru, merebut kerusi Parlimen itu.

PRU-13 benar-benar mencuri tumpuan ramai kerana deretan nama selebriti yang mencuba nasib dalam bidang politik termasuk penyanyi 80-an, Dayangku Intan. Penyanyi lagu Kita Insan Biasa itu menjadi calon untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bertanding di Parlimen Pengerang.

Datin Anne Ngasri yang juga isteri ahli politik, Datuk Sumali Reduan bergerak di dalam dunia politik. Anne mula aktif bersama Umno sejak 2013 dan pernah memegang tanggungjawab sebagai Ketua Puteri Umno Cawangan Dataran Merdeka dan Bukit Bintang.

Pelakon, Dira Abu Zahar yang juga anak bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar mengikut jejak langkah bapanya dengan terjun dalam dunia politik. Dira menyertai Puteri Umno dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai Exco bagi cawangan Tangga Batu.

Pada PRU-14, industri seni hiburan dan politik tanah air dikejutkan dengan berita mengenai pelakon dan pengacara, Azwan Ali mengumumkan mengenai pencalonannya sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
Tetapi jika artis masuk politik yang tidak berpihak kepada parti pemerintah mereka harus bersedia berhadapan dengan kehilangan job, bayaran digantung dan digam daripada muncul di televisyen atau lagu daripada berkumandang di corong radio, terutamanya apabila parti yang disokong tumbang mereka selepas pilihan raya nanti.

Ini adalah realiti artis di Malaysia, mereka tidak dibolehkan mempunyai pendirian politik secara terbuka kerana akan membatas atau mengehadkan mata pencarian yang kebanyakannya bergantung kepada media arus perdana dan menjadi milik atau proksi pemerintah.

M. Nasir pernah digam hanya kerana bertanya, “siapa Mahathir?” Pertanyaan yang diutarakan pada tahun 1996 telah menyebabkan composer tersebut digam daripada radio dan televisyen kerana dianggap bersifat biadap terhadap Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dua patah perkataan yang dijawab ketika beliau diasak wartawan pada ketika beliau bergegas mahu pulang ke Singapura selepas mendapat berita ayah mentuanya sudah meninggal dunia.

Pada ketika itu, M. Nasir tidak dapat hadir latihan sempena Malam Puisi Utusan yang menampilkan Tun Mahathir sebagai tetamu kehormat kerana menghadiri majlis pengebumian ayah mentuanya adalah jauh lebih penting daripada majlis tersebut.

Jauh sebelum itu kumpulan Blues Gang dalam tahun 1983 dengan album ke-4, Khatulistiwa telah diharam dan digam oleh RTM atas alasan lirik lagu yang mempunyai unsur berbaur politik.

Tetapi selepas Dr Mahathir berada di barisan pembangkang, beliau memuji tindakan Datuk Sheila Majid yang menulis di Twitter berkenaan ekonomi negara yang tersasar dari landasan sementara rakyat terhimpit dengan beban hutang.

Mahathir turut memuji selebriti lain termasuk Fathia Latiff yang mengeluarkan kenyataan yang cenderung dilihat sebagai mengkritik kerajaan.

Kenyataan Ratu Jazz dan pelakon itu bagaimanapun dikecam oleh beberapa ahli politik kerajaan dan antaranya ada yang menyifatkan agar artis tidak masuk campur hal-hal politik.

Beberapa artis lain termasuk penyanyi Adibah Noor dan pengacara Sarimah Ibrahim tampil menyatakan sokongan terhadap Sheila dengan menyifatkan bahawa artis berhak bersuara kerana mereka juga rakyat Malaysia.

Artis seperti Shahrul Shiro, Hattan dan Wardina Shafiya serta seangkatannya telah berhadapan dengan contoh-contoh di atas.

Persoalannya sejauh manakah kemasukkan artis dalam politik menjamin peningkatan undi yang menyokong sesebuah parti? Apakah kegilaan peminat terhadap seseorang artis dalam dunia hiburan boleh diterjemahkan ke dalam dunia politik? Apakah peminat akan mengikuti artis kegilaan mereka untuk bersama-sama menyokong parti politik yang disertainya.

Di dunia politik demokrasi yang memerlukan sokongan dan suara rakyat bagi mendapatkan undi dan kemenangan, kemasukan artis dalam politik memang dinilai memiliki potensi lonjakan undi, meskipun pengetahuan politiknya tidak seberapa. Mereka ada kelebihan daripada segi ketrampilan dan kemampuan pengucapan awam, daya tarikan terhadap khalayak.

Namun ada beberapa perkara yang harus dipertimbangkan juga kemasukan artis dalam dunia politk, jika tidak akan menjadi liabiliti atau kebencian pengundi.

Sejauh manakah selebriti tersebut memiliki hubungan dengan akar umbi dimana mereka didaftarkan sebagai calon misalnya. Mereka tidak boleh bergantung kepada kepopulariti sahaja. Populariti yang dimiliki anak seni bukan satu jaminan untuk mereka melangkah sebagai ahli politik dan memenangi kerusi dalam pilihan raya.

Penyanyi, Aishah pernah berkata, gelaran artis memang memudahkan seseorang untuk dikenali ramai namun tidak semua peminat adalah pengundi. Paling penting jelasnya, adalah niat dan usaha seseorang itu untuk memenangi hati rakyat.

Apa dimaksudkan ini agar selebriti atau artis tersebut dapat membantu parti yang mereka sertai melakukan strategic positioning dan pencitraan yang tepat di kawasan parlimen dan kawasan negeri yang mereka wakili.

Malah Hans sendiri telah memulakan kerja-kerja politik dengan menyalurkan bantuan kepada penduduk di sekitar Ampang.
Beliau melalui tanda pagar #kitabudakamapang memberi fokus kepada program yang sudah diatur dan dalam masa yang sama akan sentiasa menghargai sokongan dan bantuan yang diperolehi.

Sejauh manakah model brokerage dapat melonjakkan sokongan pengundi terhadap parti yang disertainya misalnya peminat seseorang artis dapat membantu mengukuhkan kedudukan parti atau gabungannya. Mereka boleh dianggap sebagai duta-duta pemasaran politik, duta jualan produk politik untuk memasarkan produk supaya dapat mempengaruhi pengundi.

Penetrasi politik untuk memperolehi dukungan dan suara harus dilakukan secara daripada peringkat akar umbi sehingga ke peringkat atas.

Dalam hal ini seseorang artis yang masuk ke dalam dunia politik harus juga terlibat dalam penjenamaan politik atau political branding. Penjenamaan adalah bentuk baru daripada pemasaran politik yang dapat menjadi jaminan, keunikan (unsur pembeza yang jelas dengan pesaing), ketetapan nilai, dan hubungan emosional dengan nilai dan

visi parti dan hubungan dengan isu yang dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.

Secara operasional model penjenamaan politik terbahagi kepada dua bahagian iaitu konsepsi penjenamaan politik yang ditujukan mendapat mempengaruhi pengundi dan parti politik yang disertai dan konsepsi penjenamaan politik yang dikaitkan kepada figura atau personaliti artis tersebut.

Kepopulariti peminat terhadap artis agak berbeza dengan kepopulariti artis dalam dunia politik. Seseorang artis harus mempunyai pengetahuan politik, isu semasa, berwawasan, pandai dan mahir memberikan jawapan apabila ditanya dan mengelakkan sebarang gosip atau kontroversi yang menjejaskan namanya dan imej parti yang diwakilinya.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)