Malaysia Dateline

Arul Kanda

Arul Kanda mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Najib

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda laporan akhir pengauditan 1MDB.

Arul Kanda yang memakai sut hitam tenang di kandang tertuduh dan mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dengan menggunakan jawatan beliau untuk mendapatkan suapan iaitu perlindungan daripada tindakan tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Tindakan itu adalah dengan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di baca bersama Seksyen 23 (1) dan 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan yang diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan untuk tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Tiada bantahan berhubung jumlah jaminan daripada peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arun Kanda namun beliau memohon bayaran tersebut dibuat secara ansuran sebanyak dua kali.

Arul Kanda Kandasamy dibawa keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada kira-kira 7.35 pagi ini bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Arul Kanda dibawa dengan menaiki kereta Honda Odyssey dalam konvoi empat buah kereta yang keluar dari ibu pejabat SPRM yang didahului oleh kenderaan polis. Konvoi berkenaan diiringi polis trafik.

Kenyataan SPRM pada Selasa menyebut Arul Kanda dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan didakwa hari ini berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Arul Kanda hadir ke ibu pejabat SPRM pada 9.30 pagi semalam sebelum ditahan.

Beliau bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan menghadapi pertuduhan bersama berkaitan kes sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

SPRM, dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan proses pendakwaan itu dilaksanakan selepas pihaknya mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Pada 10 Disember lalu, SPRM menahan Najib bagi melengkapkan proses akhir siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.

Pada 25 November lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB diubah dan Najib tahu mengenai perkara itu.

Madinah turut mendedahkan dua perkara penting digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.