Arul Kanda sanggup ke Sungai Besar tinggal tugas selamatkan 1MDB

Arul Kanda sanggup ke Sungai Besar tinggal tugas selamatkan 1MDB

Kehadiran Presiden merangkap Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda di Sungai Besar menandakan kegusaran kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak tentang skandal yang menyelebungi 1MDB, kata Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Malah beliau yakin kehadiran Arul Kanda yang tidak diduga adalah hasil persidangan khas skandal 1MDB dan derma RM4.2 bilion di Sekinchan Sabtu lalu yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, kekurangan dan kehilangan kredibiliti penjelasan kerajaan berhubung skandal antarabangsa 1MDB, serta kesan 1MDB terhadap pilihan raya kecil 18 Jun ini.

“Kehadiran Presiden merangkap Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda di Sungai Besar menunjukkan bahawa tugas Arul Kanda adalah lebih kepada menjadi pegawai perhubungan awam berbanding menyelesaikan skandal kewangan global itu, terutama apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang sedang duduk di atas timbunan hutang dan masalah 1MDB sejak permulaan dana tersebut kira-kira tujuh tahun lalu,” kata ahli politik veteran DAP itu.

Beliau hairan dengan sikap Arul Kanda yang diibaratkan seperti ‘pencuri yang cuba menyembunyikan sesuatu’ kerana enggan menjawab soalan pihak media sama ada beliau sedang berkempen untuk BN di Sungai Besar, sedangkan tugas asasi beliau adalah untuk menyelesaikan skandal kewangan global Malaysia yang terburuk dalam sejarah negara.

“Memandangkan 1MDB adalah 100% syarikat kerajaan, Arul Kanda akhirnya dibayar menggunakan wang cukai rakyat dan tidak lebih dari seorang penjawat awam.

“Oleh itu, beliau sepatutnya menunjukkan kesetiaan dan komitmen kepada 30 juta rakyat Malaysia dan bukan hanya kepada bekas majikannya – 1MDB, Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri sendiri,” tegas Ketua Parlimen DAP itu dalam satu kenyataan media.

Kit Siang turut menyeru pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk menyampaikan mesej jelas dengan menolak calon-calon BN pada PRK Sabtu ini.

“Perdana Menteri dan Umno-BN akan mendapat ‘kejutan elektrik’ yang juga berfungsi sebagai satu seruan agar mereka memberi akauntabiliti penuh dan memuaskan terhadap skandal global 1MDB, atau mereka harus menjangkakan akan diusir dari Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 yang akan tiba kurang dari 24 bulan lagi!” tegas beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)