Malaysia baru-baru ini digemparkan dengan khabar duka pemergian isteri kepada usahawan dan pempengaruh, Ridzuan Ridzokumura iaitu Akiko Okumura yang dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Pemergian Allahyarham Akiko atau nama Islamnya, Nur Aishah Abdullah cukup meninggalkan kesan terutamanya kepada pengikut akaun media sosial Ridzuan yang sering berkongsi sajian sahur dan berbuka puasa disediakan isterinya.
Perilaku arwah disifatkan sebagai isteri dan ibu yang baik kerana sentiasa menjalankan tanggungjawabnya serta menjaga tutur kata setiap kali berbicara itu turut diakui oleh pelakon, Zarina Zainuddin.
Menurut pelakon berusia 55 tahun itu, arwah Akiko juga sanggup berkorban dengan meninggalkan hartanya demi cinta dan kasih sayangnya terhadap Ridzuan Ridzokumura iaitu bapa saudara kepada Zarina, lapor Mstar.
“Allahyarham seorang yang sangat baik. Dia sanggup meninggalkan keluarganya yang kaya demi mahu hidup bersama bapa saudara saya. (Arwah) bukan sahaja isteri yang taat.
“Tetapi Akiko juga sangat sayang dan memanjakan anak lelaki tunggalnya. Arwah sangat menghormati orang lain sehingga kalau bercakap, selalu berjaga-jaga sebab bimbang menyakiti hati orang lain,” katanya memetik laporan Mstar.
Difahamkan, perkara itu didedahkan Zarina ketika ditemui oleh media sejurus selepas selesai upacara pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam USJ22 di Subang Jaya, Selangor pada pagi Sabtu.
Mengulas lanjut tentang keperibadian Akiko, Zarina juga memaklumkan bahawa arwah sanggup mengharungi pelbagai kepayahan dan masa senang sepanjang hidup bersama bapa saudaranya.
Ridzuan akhirnya berjaya dalam bidang perniagaan salun yang diceburinya selepas beberapa tahun membanting tulang untuk bekerja keras bermula dari bawah seperti kata pepatah, ‘usaha tidak mengkhianati hasil’.
Usahawan itu juga mampu memberikan kesenangan kepada Akiko dengan memperuntukkan wang sebanyak RM30,000 setiap bulan kepada isterinya sebagai tanda penghargaan terhadap wanita terbabit.
“Dahulu bapa saudara saya hanya kerja hotel. Tetapi dia buktikan yang perkahwinan berlaku bukan sebab arwah ini anak orang kaya. Sebaliknya dia bekerja keras. Apabila sudah berjaya, bapa saudara saya beri RM30,000.
“Setiap bulan (diberikan) untuk isterinya. Sebab itu arwah rasa hidupnya cukup sempurna berada di sisi suami dan anak,” jelas Zarina yang turut berkongsi memori paling berharganya bersama arwah.
Jelas Zarina, dirinya sentiasa akan mengingati detik-detik ketika menemani Akiko untuk pergi ke Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (Jakim) bagi urusan memeluk Islam pada tahun 2008.
Zarina ketika itu menjadi saksi untuk pihak Allahyarham sebelum wanita kelahiran Jepun berkenaan melafazkan dua kalimah syahadah di pejabat agensi tersebut pada bulan Oktober.
“Saya tak dapat lupakan masa arwah masuk Islam dahulu. Sebab sayalah orang yang bawa dia ke Jakim. Saya menjadi saksi perkara itu pada 10 Oktober 2008.” Ujar Zarina lagi.
Terdahulu, Ridzuan pada 28 Februari lalu mengejutkan ramai pihak selepas mengumumkan pemergian isterinya buat selama-lamanya namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai punca kematian.
Sekadar info, Ridzuan Ridzokumura dan Akiko Okumura yang merupakan warganegara Jepun mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 iaitu tiga hari selepas ulang tahun kelahiran usahawan itu.
Hasil perkongsian hidup bersama, pasangan itu kemudian dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki iaitu Sky Taizo Okumura yang baharu sahaja menyambut hari jadinya ke-13 pada 21 Februari lalu.
Lebih menyayat hati, Akiko juga lahir di dalam bulan yang sama iaitu pada 19 Februari lalu menjadikan suasana amat memilukan terutama untuk keluarga dan para pengikut pempengaruh berkenaan.
Baca juga: Bergaduh sampai buat ‘report’ polis tahu-tahu keluar lagu raya, satu Malaysia kena tipu