Kehilangan pelawak, Hamdan Ramli memberi kesan yang sangat besar terutamanya buat ahli kumpulan Senarion.
Allahyarham Hamdan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh, kira-kira 11.50 malam tadi
Menurut Berita Harian, Yassin Yahya berkongsi sifat arwah yang sering mengingatkannya untuk tidak lupa mendirikan solat.
“Saya sebagai ‘adik’ paling bongsu dalam Senario, sememangnya arwah Hamdan banyak beri tunjuk ajar.
“Hinggakan bila ingatkan arwah, saya akan ingat Allah kerana banyak nasihat saya agar jangan lupa solat,” katanya seperti dipetik BH Online.
Bagi Azlee Jaafar, dia menganggap pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar selepas berpuluh tahun berkongsi pentas.
“Arwah dah seperti darah daging saya. Allah lebih mengetahui segalanya. Kami bertemu pada 30 Disember lalu sempat berborak untuk persembahan.
“Namun, keesokannya arwah rebah ketika hendak berlatih sebelum persembahan. Apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan Hamdan mempunyai komplikasi kesihatan.
“Jika diikutkan, saya dan Pak Ya (Ilya Buang) yang paling berusia dalam Senario, tetapi Allah ambil Hamdan dulu.
“Arwah menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat iaitu penghulu segala hari,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Sebelum ini media melaporkan, Allahyarham Hamdan, 54, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengah hari, Jumaat.
Arwah ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA sejak Ahad lalu kerana jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.
Baca juga: Terkilan netizen tuduh anak, Lan Zailan perjelas sebab sebenar jual kereta