Malaysia Dateline

AS akan berhubung semula dengan Korea Utara, kata Pompeo

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo pada Isnin berkata, negara itu akan berhubung semula dengan pemimpin Korea Utara,Kim Jong Un mengenai isu yang menjadi kebimbangan bersama, lapor agensi berita Xinhua.

Pompeo berkata demikian dalam temu bual dengan B98 FM, sebuah stesen radio di negeri Kansas melalui persidangan video.

“Kami percaya masih ada peluang ke arah itu, sudah tentu sukar dan senantiasa mencabar,” katanya dalam transkrip wawancara yang diedarkan Jabatan Negara.

“Tetapi kita sudah mempunyai sekatan ekonomi paling ketat dalam sejarah,” kata Pompeo.

“Dan terdapat sedikit kemajuan di Hanoi,” katanya merujuk kepada sidang kemuncak kedua antara Presiden Donald Trump dan Kim yang berakhir tanpa sebarang kata sepakat.

Pompeo berkata, perbincangan akan diteruskan semula kerana ia penting untuk mengurangkan ancaman senjata nuklear bukan sahaja kepada Amerika dan Kansas tetapi seluruh dunia.

— BERNAMA