AS akan hantar 1,500 tentera tambahan ke Timur Tengah

AS akan hantar 1,500 tentera tambahan ke Timur Tengah

Amerika Syarikat (AS) akan menghantar 1,500 lagi tentera tambahan ke Timur Tengah sebagai “langkah perlindungan”, berikutan ketegangan yang kian memuncak dengan Iran, kata Presiden Donald Trump pada Jumaat.

“Kita lihat apa akan berlaku selepas ini,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua.

Setiausaha Pertahanan AS, Patrick Shanahan berkata, Pentagon telah memaklumkan Kongres mengenai langkah terbaru itu. “Ini adalah tindak balas berhemah terhadap ancaman Iran,” tulisnya di Twitter.

Pentagon dalam satu taklimat pada Jumaat petang berkata, kira-kira 600 tentera telah tiba di rantau itu bersama dengan sebuah sistem pertahanan yang direka untuk mengesan dan memusnahkan peluru berpandu, seramai 900 lagi anggota ditugaskan mengendalikan radar pengawasan risikan dan dron.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam reaksi balasnya berkata Iran tidak gentar dengan tindakan AS itu.

“Tindakan dan propaganda oleh AS sekadar untuk kekal relevan dalam pandangan masyarakat awam,” kata jurucakap IRGC, Ramezan Sharif.

Pada hari sama, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata pentadbiran Trump telah menggunakan peruntukan yang jarang dibelanjakan di bawah undang-undang persekutuan untuk menyekat Kongres dan melengkapkan jualan senjata kepada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan.

Washington dan Tehran dibelenggu perang mulut sejak dua minggu lalu, menyaksikan Iran berikrar untuk menentang sikap AS yang suka “membuli”.

— BERNAMA