AS ancam kenakan sekatan kepada institusi kewangan bantu kerajaan Maduro

AS ancam kenakan sekatan kepada institusi kewangan bantu kerajaan Maduro

Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Bolton pada Rabu berkata negara itu akan mengenakan sekatan kepada institusi kewangan asing yang menyumbang dana kepada Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam satu wawancara dengan FOX Business Network pada Selasa, Bolton mendedahkan Washington akan “meneliti sama ada akan mengenakan sekatan baharu bagi menyekat rejim pentadbiran Maduro.

Pada masa sama Wakil Khas AS ke Venezuela, Elliott Abrams berkata dalam satu taklimat media “jelas terdapat kemungkinan” AS akan mengenakan sekatan sekunder terhadap rakyat, entiti bukan AS atau syarikat yang terikat dengan kerajaan Maduro.

Ia bertujuan memberi tekanan terhadap Maduro berikutan AS menyuarakan sokongan kepada pemimpin pembangkang, Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden.

Pentadbiran Trump mengiktiraf Guaido sebagai “presiden interim” Venezuela pada 23 Januari, sebaik Maduro secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal kedua.

Maduro kemudian bertindak balas dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan AS.

— BERNAMA