AS beri kata dua kepada komuniti perniagaan yang berurusan dengan kerajaan Venezuela

AS beri kata dua kepada komuniti perniagaan yang berurusan dengan kerajaan Venezuela

Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan satu ultimatum yang keras kepada komuniti perniagaan antarabangsa pada Rabu, memberi amaran berhubung perdagangan berasaskan komoditi dengan kerajaan Venezuela, dua hari selepas Washington menyenarai hitam syarikat minyak negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Nasihat saya kepada pegawai bank, broker, peniaga, fasilitator dan perniagaan lain: jangan melakukan urus niaga membabitkan emas, minyak dan komoditi lain Venezuela yang sedang dicuri daripada rakyat negara itu oleh mafia Maduro,” kata Penasihat Keselamatan Negara John Bolton menerusi akaun Twitter.

“Kami sudah bersedia untuk mengambil tindakan,” katanya.

Amaran itu dibuat susulan satu kempen yang dipelopori Washington untuk mengenakan tekanan fiskal dan diplomatik ke atas Presiden Venezuela Nicolas Maduro agar menyerahkan kuasa kepada Presiden Dewan Perhimpunan Kebangsaan Juan Guaido, yang mengaku berkuasa minggu lepas.

Sekatan AS terhadap syarikat minyak Venezuela turut diguna pakai ke atas usaha sama dengan syarikat minyak negara Nicaragua, ALBANISA, kata Bolton dalam tweet lain.

AS, Kanada dan kebanyakan negara Amerika Latin telah mengiktiraf Guaido sebagai pemimpin sah Venezuela.

Beliau menggesa satu gelombang demonstrasi besar-besaran baharu dianjurkan pada Rabu dan Sabtu selepas satu perarakan serupa membanjiri jalanan di seluruh negara itu.

Washington telah memberi amaran mengenai akibat buruk yang bakal menimpa jika Guaido diapa-apakan manakala Maduro menolak desakan untuk beliau berundur dan menegaskan bahawa AS mendalangi rampasan kuasa terhadap kerajaannya.

Terdahulu, Maduro dalam kenyataannya kepada media Rusia pada Rabu menyebut bahawa beliau sedia berunding dengan pembangkang namun menolak desakan untuk mengadakan pilihan raya baharu di negara itu.

Venezuela telah digegarkan oleh tunjuk perasaan sejak 10 Jan apabila Maduro mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua susulan tindakan pembangkang memboikot pengundian.

— BERNAMA