Malaysia Dateline

AS didakwa sengaja tangguh permohonan visa diplomat Cuba

Amerika Syarikat didakwa sengaja menangguhkan proses permohonan visa diplomat Cuba, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri Cuba.

Sejak Januari, hanya 26 visa dikeluarkan manakala permohonan enam visa diplomat yang akan ditempatkan di Kedutaan Besar Cuba di Washington ditolak.

Sedangkan Cuba telah mengeluarkan lebih 100 visa diplomatik sementara dan tetap untuk pegawai AS di kedutaan dengan hanya satu permohonan ditolak.

Bagaimanapun AS berkata tindakannya didorong oleh pengurangan jumlah visa diberikan Cuba kepada pegawai negara itu pada 2017.

Cuba menafikan kenyataan itu sebaliknya menuduh AS yang sengaja mengurangkan bilangan kakitangan negara asing.

Kenyataan Kementerian Luar Cuba menyebut “kelulusan dan penangguhan tidak menentu” dalam pemberian visa satu tindakan sengaja menghalang hubungan dua hala.

Hubungan kedua-dua negara tegang sejak keputusan Presiden Donald Trump mengenakan semula sekatan ekonomi, perdagangan dan kewangan.

— BERNAMA