Malaysia Dateline

AS masih berdiplomasi dengan Korea Utara

Amerika Syarikat (AS) sentiasa mengamalkan pendekatan diplomasi dengan Korea Utara dan pemimpin kedua-dua negara itu sentiasa terbuka untuk berdialog, lapor agensi berita Xinhua.

“Diplomasi masih ada dan kami masih berurusan dengan Korea Utara,” kata perwakilan khas AS ke Korea Utara, Stephen Biegun di Persidangan Dasar Nuklear Antarabangsa Carnegie.

Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengadakan sidang kemuncak kedua di Hanoi pada 27 hingga 28 Februari tetapi berkahir tanpa sebarang  persetujuan.

Sementara itu Setiausaha Negara bagi Kawalan Senjata dan Keselamatan Antarabangsa, Andrea Thompson, berkata masih ada ruang untuk kedua-dua pemimpin berbincang di sidang kemuncak ketiga, cuma masih belum ada tarikh yang sesuai.

Pada Isnin, Presiden Donald Trump dilaporkan berkata, beliau bersedia mengadakan sidang kemuncak ketiga dengan Korea Utara dan selama ini sentiasa berusaha memperbaiki hubungan dengan Kim.

— BERNAMA